Malaysia tak sekat pelancong China, kata PM


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad (tengah) menggaul yeesang pada rumah terbuka Tahun Baharu Cina Gerakan di Kuala Lumpur hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Januari, 2020.

KERAJAAN tidak bercadang untuk mengkaji semula pengecualian visa selama setahun kepada pelancong dari China ekoran penularan jangkitan koronavirus kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri menjelaskan, sebarang tindakan untuk mengkaji semula kelulusan itu akan menjejaskan rakyat Malaysia yang turut diberi pengecualian visa oleh negara China selama tiga tahun.

“Kita beri (pengecualian visa) dahulu sebab masa itu belum timbul koronavirus ini. Mana kita hendak tahu. Negara China pula bagi sampai tiga tahun rakyat kita boleh berada di sana.

“Tetapi kita khuatir kalau kita tidak berjaga-jaga, kita akan dapat jangkitan penyakit yang bahaya,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Ketika ditanya, Dr Mahathir berkata kerajaan buat masa ini tidak akan menghantar tiga pesakit negara China yang dikesan setakat ini pulang ke negara asal.

Malaysia sebaliknya akan memantau dan merawat pesakit tersebut supaya ianya tidak merebak, katanya.

“Mereka sudah dimasukkan ke hospital, kita akan pantau supaya mereka tidak lanjut, menjadi satu penyakit yang teruk. Waktu ini masih peringkat awal. Kita kena kuarantin mereka.

“Ada berapa orang telah dijangkitan dan mereka telah dimasukkan ke hospital. Saya ingin ingatkan kepada semua orang supaya berhati-hati.

“Bila pergi dekat tempat tumpuan ramai dan sebagainya, sila guna topeng muka,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga akan menjalankan saringan terhadap pelancong luar terutamanya daripada China bagi mencegah virus tersebut daripada menular di negara ini.

“Kita tidak akan halang tetapi kita akan periksa mereka. Ini dapat kesan penyakit dari peringkat awal,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini yang mengesahkan tiga warga China disahkan positif bagi koronavirus.

Tiga individu itu yang pada mulanya dikuarantin di Johor Bahru kini ditempatkan di Hospital Sungai Buloh.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mengakui penularan koronavirus akan menjejaskan kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 seperti jangkaan sebuah firma kajian pelaburan.– 25 Januari, 2020.

MENYUSUL 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen