Buktikan Bersatu bukan Umno, kata akar umbi menjelang pemilihan parti


SM Amin

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Syed Hamid Albar memberi amaran tegas menyingkirkan calon yang didapati menggunakan wang untuk mendapatkan sokongan dalam pemilihan parti yang akan bermula pada 15 Februari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2020.

BERSATU perlu menggunakan tempoh kempen pemilihan parti yang bermula secara rasmi minggu depan sebagai medan untuk membuktikan ia tidak sama seperti Umno, kata pemimpin akar umbi parti.

Mereka memberi ingatan itu ketika ada kebimbangan amalan politik wang mula rancak menjelang pemilihan parti sehingga jawatankuasa pemilihan mengeluarkan peringatan dan amaran mengenainya Rabu lalu.

“Budaya politik wang adalah satu budaya lama yang sangat tidak sihat. Budaya inilah yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan terdahulu.

“Jika benar ada pemimpin Bersatu yang mengamalkan politik wang, saya akan tentang dan mendesak kepimpinan tertinggi mengambil tindakan yang tegas,” kata Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas, Azlina Mehtab.

Jelas beliau, budaya politik wang akan melahirkan pemimpin yang korup, yang kemudian akan jadi pentadbir yang tidak layak, tidak telus, dan kleptokrat.

Pada Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Syed Hamid Albar memberi amaran tegas menyingkirkan calon yang didapati menggunakan wang untuk mendapatkan sokongan dalam pemilihan parti yang akan bermula pada 15 Februari ini.

“Saya fikir boleh berkempen sejajar dengan amalan demokrasi tapi jangan mengamalkan kemewahan, jangan amalkan politik wang dan kalau yang berkuasa jangan salah guna kuasa ...perkara paling penting adalah jangan beli undi,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Katanya, calon yang bertanding tidak dibenarkan menaja apa-apa perjalanan dan rombongan termasuk membiayai umrah atau permainan golf.

“Pergi tempat dekat-dekat seperti Bangkok, Manila pun tak boleh…(bawa) main golf pun tak boleh,” kata Syed Hamid.

Sementara itu, seorang pemimpin Pemuda Bersatu mengaku tidak terkejut dengan peringatan dan amaran yang diberikan oleh pengerusi jawatankuasa pemilihan parti mengenai amalan politik wang.

Exco Armada Bersatu (Biro Perhubungan Antarabangsa), Mohd Muzzamil Ismail mendakwa usaha untuk mendapatkan sokongan dengan menaburi wang sudah bermula sejak minggu lalu.

“Saya tidak terkejut dengan kenyataan Syed Hamid. Mungkin dia sudah dapat maklumat. 

“Saya sendiri nampak memang sedang berlaku contohnya labur-melabur, janji projek dan sebagainya. Ada yang berjanji boleh masuk 18 projek di Sabah. 

“Apa beza dengan Umno dahulu?,” soalnya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Muzammil mendakwa kempen kotor tersebut dilakukan oleh mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan, sama ada sebagai ahli Parlimen, Adun atau pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) yang mempunyai peruntukan tertentu.

“Mereka gunakan peruntukan itu untuk kepentingan politik masing-masing,” katanya.

Jelasnya, beliau tidak mempertikaikan pemberian peruntukan menggunakan dana kerajaan namun mempersoalkan prosesnya yang dilihat terlalu mudah berbanding sebelum ini.

“Armada ini daif. Sejak dua tahun lalu hendak minta peruntukan susah tetapi pada hari ini kenapa senang-senang luluskan peruntukan RM10,000 setiap bahagian. 

“Kalau hendak buat program boleh lulus terus. Timbul pula biro kebajikan hendak bagi itu ini. Mana datang pula duit itu?

“Kenapa dua tahun lepas tidak bagi? Menjelang pemilihan ini mudah pula peruntukan turun dan lulus. Benda ini bermula sejak seminggu lalu, sebab itu kita persoal,” katanya.

Pengerusi Bersatu Dr. Mahathir Mohamad pada Isnin lalu berkata penyakit dalam Umno sudah mula merebak ke dalam Pakatan Harapan apabila kuasa politik dianggap tempat berpijak untuk mendapatkan segala-galanya.

Keadaan itu menyebabkan Dr Mahathir tidak yakin dengan barisan kepimpinan pelapis yang ada untuk masa depan Malaysia.

Seorang lagi pemimpin Pemuda bagaimanapun menafikan amalan politik wang wujud dalam Bersatu, sebaliknya mendakwa kononnya ahli parti “miskin dan tidak kaya” seperti ahli Umno.

Exco Armada (Pendidikan), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata terlalu awal untuk parti baru seperti Bersatu terlibat dengan politik wang.

Beliau juga yakin ahli Bersatu di akar umbi akan menolak budaya tersebut.

“Saya yakin orang Bersatu tidak bodoh hendak sokong orang yang mencari sokongan dengan duit. Budaya politik wang dalam Bersatu ini, kalau hendak berlaku sekalipun, mungkin bukan sekarang. 

“Bukanlah saya kata tidak nampak langsung permainan politik wang dalam Bersatu. Cubaan itu ada tetapi ia bukan barah yang menjadi satu masalah,” katanya.

Bersatu menetapkan esok (26 Januari) sebagai tarikh pencalonan untuk pemilihan bagi pimpinan cawangan dan bahagian.

Mesyuarat dan pemilihan cawangan akan diadakan antara 15 Februari hingga 29 Mac depan, menggunakan sistem pemilihan satu ahli satu undi.

Persidangan dan pemilihan di peringkat bahagian pula diadakan serentak pada 18 April bagi memilih ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, menggunakan sistem pemilihan yang dipakai oleh Umno sebelum ini.

Umno kemudiannya meminda sistem pemilihan itu pada 2009 untuk mengelakkan amalan politik wang. – 25 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen