Koronavirus: 8 rakyat China dikuarantin di Johor Bharu


Kesemua lapan individu terbabit perlu diasingkan sekurang-kurangnya satu minggu bagi mengenal pasti sekiranya mempunyai simptom koronavirus. – Gambar AFP, 24 Januari, 2020.

LAPAN rakyat China dikuarantin di sebuah hotel di Johor Bahru selepas dikenalpasti mempunyai kaitan dengan kes virus Wuhan di Singapura, lapor Bernama.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kesemua mereka merupakan rakan seperjalanan seorang lelaki rakyat China berusia 66 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura pada 20 Januari lalu sebelum disahkan positif novel koronavirus import. 

Kesemua lapan rakyat China itu tiba di Johor Bahru dari Singapura semalam dan diletakkan di sebuah hotel dengan pemantauan dan kawalan rapi Kementerian Kesihatan.

Menurut Dr Lee, kesemua lapan individu terbabit perlu diasingkan sekurang-kurangnya satu minggu bagi mengenal pasti sekiranya mempunyai simptom coronavirus. 

“Mereka bukan pesakit tetapi mereka dipantau untuk dikuarantin bagi melihat sama ada terdapat simptom atau tidak kerana mereka ada hubungan dengan pesakit yang positif koronavirus. Tetapi buat masa ini, mereka tidak ada (simptom),” katanya kepada pemberita selepas meninjau ketibaaan penerbangan dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Mengesahkan empat kes yang disyaki sebelum ini negatif, masing-masing dua di Selangor dan Sabah.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata pihaknya akan mempertingkatkan penggunaan mesin pengimbas suhu badan bagi mengesan virus koronavirus di semua kawasan lapangan terbang dan pintu masuk negara.

“Kita akan mempertingkatkan peralatan untuk buat saringan suhu badan di semua lapangan terbang dan pintu masuk,” katanya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini memaklumkan semua pihak berkuasa dan agensi berkenaan telah siap sedia mengambil langkah perlu membendung virus berkenaan daripada merebak.

Antaranya termasuk saringan kesihatan di pintu masuk negara dan persiapan di 26 hospital di bawah kementerian untuk menghadapi segala kemungkinan.

Kementerian Kesihatan mengeluarkan makluman ini ketika pihak berkuasa kesihatan dunia menyambung perbincangan mencari jalan penyelesaian.

Setakat ini, selain di China, kes jangkitan virus itu dikesan di Korea Selatan, Jepun, Thailand, Taiwan, Macau, dan Amerika Syarikat.

Semalam, Malindo Air dan Air Asia mengumumkan pembatalan semua penerbangan kedua-dua hala antara Malaysia dan Wuhan.

Malindo tidak menyatakan penggantungan itu sampai bila, namun Air Asia menyebut tiada penerbangan ke Wuhan dari Kota Kinabalu, Bangkok dan Phuket sehingga 28 Januari ini.

Sementara itu, Wisma Putra menasihat rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Wuhan dan kawasan lain yang terjejas dengan koronavirus itu.

Ia juga meminta semua rakyat Malaysia yang terjejas susulan sekatan perjalanan keluar masuk Wuhan yang dikenakan oleh pihak China supaya menghubungi pejabat kedutaan dan konsular Malaysia di negara itu. – 24 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen