Politik kaum masih cabaran buat Pakatan, kata Tian Chua


Naib Presiden PKR, Tian Chua mengatakan rundingan tentang perkongsian jawatan dan kuasa antara kaum sewajarnya ditentukan melalui rundingan tertutup selepas menang PRU14 dan fokus kini adalah untuk mengubah kerajaan. Politik kaum baginya masih akan terus menjadi cabaran Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2017.

POLITIK kaum akan terus menjadi tiga cabaran utama yang perlu ditangani Pakatan Harapan (PH) bagi memenangi pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden PKR Tian Chua.

“Ada orang yang tanya berapa ramai menteri PH akan beri (kepada komuniti mereka)? Jika anda beri kami kurang, mengapa kami perlu sertai anda? Jika anda beri lebih, pihak sebelah sana akan tanya berapa banyak pula kami dapat?” kata Tian Chua yang juga ahli Parlimen Batu.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, semua orang fokusnya adalah untuk ubah kerajaan. Sekarang orang ambil mudah yang kerajaan memang boleh ditukar.

Katanya, ramai pengundi kini lebih berminat untuk mengetahui siapa yang akan jadi perdana menteri atau berapa ramai orang Cina dan India akan dilantik menjadi menteri.

Kebimbangan sama turut dibangkitkan pengundi di Sabah dan Sarawak, malah ada yang meminta pemimpin kaum mereka dilantik menjadi menteri kewangan seterusnya.

Walaupun Tian Chua mengakui yang rundingan politik serta politik identiti akan wujud di mana-mana demokrasi, beliau bagaimanapun menekankan yang perkara itu sewajarnya ditentukan melalui rundingan tertutup selepas PH menang pilihan raya.

Tian Chua diwawancara The Malaysian Insight beberapa hari selepas dia dibebaskan daripada penjara selepas menjalani hukuman penjara sebulan kerana enggan mematuhi arahan polis untuk meninggalkan kawasan larangan pada perhimpunan Bersih 3 pada 2012.

Beliau membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengekalkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 yang diputuskan mahkamah sesyen, tetapi apabila kesnya dibicarakan Mahkamah Rayuan, naib presiden PKR itu memutuskan untuk menarik balik rayuannya dan memilih untuk menjalani hukuman penjara.

Selain politik kaum, dua lagi cabaran PH termasuklah menyakinkan pengundi tentang kemampuan mereka memerintah negara serta mengurangkan konflik dalam gabungan parti pembangkang itu dengan PAS menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang perlu diadakan sebelum Ogos depan.

Beliau percaya harapan pengundi yang kerajaan akan berubah tidak setinggi pilihan raya lepas walaupun ketidakpuasan hati mereka terhadap Barisan Nasional (BN) mungkin lebih tinggi sekarang memandangkan keyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri Najib Razak sangat rendah sekarang.

Beliau menjangkakan BN dan media pro kerajaan akan melakukan serangan habis-habisan untuk menyemai keraguan dalam rakyat mengenai kemampuan PH memerintah negara.

“Rekod kerja Pulau Pinang dan Selangor sangat penting, untuk membuktikan (yang kita mampu memerintah). Kita boleh berbangga dengan prestasi kita di kedua-dua negeri itu.

“(Tetapi) kita tak promosi diri kita cukup-cukup. Ramai orang tak tahu tentang (prestasi) Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Tian Chua menambah yang BN juga akan menggunakan kemelut dalaman PH serta konfliknya dengan PAS bagi mengurangkan tumpuan kepada pembaziran dan skandal dihadapi kerajaan pemerintah.

“Saya rasa ramai orang sebenarnya sudah bosan dengan pembaziran dan skandal BN. Saya tak perlu ulang semula sebab kita dah berjaya yakinkan rakyat tentangnya,” katanya.

Bagaimanapun, BN menggunakan konflik dalaman PH dan dengan PAS untuk mengatakan yang mereka adalah gabungan politik yang lebih stabil dan kerana itu perlu terus diberikan mandat memerintah negara.

“Kita perlu tangkis itu. Jelaskan kepada rakyat yang biasalah ada perbezaan pandangan dalam demokrasi.

“Sebab kita dalam transisi (ke arah demokrasi matang), ini adalah (beberapa kelemahan PH) yang BN boleh gunakan, untuk buat pengundi atas pagar fikir yang mereka ambil risiko, mengundi gabungan parti yang tak ada persefahaman,” katanya.

Walaupun Tian Chua mengakui yang sukar mencapai perpaduan padu dan sepenuhnya dalam PH yang masih lagi baru, beliau percaya usaha meraih keyakinan rakyat masih jadi keutamaan PH.

 “Kita perlu cuba tingkatkan keyakinan rakyat kepada kita,” katanya. – 5 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen