Usah bincang peralihan kuasa secara terbuka, gesa Anwar Ibrahim


Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa semua pihak dalam Pakatan agar menghormati konsensus yang dicapai pada awal 2018.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2020.

ANWAR Ibrahim tidak mahu peralihan kuasa perdana menteri antara Dr Mahathir Mohamad kepadanya dibincangkan secara terbuka, selepas pemimpin Pakatan Harapan berbalas kenyataan mengenainya sekali lagi minggu ini.

Dalam satu kenyataan, presiden PKR berkata semua pihak dalam Pakatan sepatutnya menghormati konsensus yang telah dipersetujui oleh empat parti dalam komponen itu pada Januari 2018.

“PH dan Tun Dr Mahathir telah berulang kali menegaskan komitmen untuk menjayakan proses transisi seperti yang dipersetujui.

“Maka sewajarnya kita turut menghormati keputusan tersebut agar ianya berlaku secara aman dan teratur,” katanya, dalam kenyataan ringkas hari ini.

Anwar juga sekali lagi memberi jaminan beliau menyokong kepimpinan Dr Mahathir.

“Saya telah memberi jaminan untuk menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ikhtiar mengemudi negara terutama mengukuhkan ekonomi.”

Semalam, pemimpin parti komponen Pakatan berbalas kenyataan terbuka selepas isu peralihan kuasa dibangkitkan sekali lagi, bermula dengan kenyataan oleh Setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab yang mendesak perdana menteri letak jawatan.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kemudian membidas penyokong Anwar yang katanya tidak menghormati konsensus dan terus-terusan mendesak Dr Mahathir berundur.

Kenyataan Syed Saddiq dibidas oleh pemimpin DAP P Ramasamy, yang turut dinamakan sebagai antara penyokong Anwar.

Awal hari ini, Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok meminta pemimpin Pakatan menggunakan saluran dalaman parti masing-masing untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai tempoh waktu peralihan kuasa perdana menteri.

Katanya, perbalahan terbuka hanya menjejaskan imej Pakatan dan kerajaan ketika semua pihak sepatutnya fokus pada agenda melaksanakan perubahan selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu juga menyeru pemimpin Pakatan supaya fokus kepada agenda perubahan yang dijanjikan, dan bukan pelan peralihan kuasa.

Konsensus Pakatan tidak menetapkan tarikh peralihan kuasa, dan tempoh peralihan itulah yang selalu dipersoalkan oleh beberapa pihak.

Mereka mendakwa tempoh peralihan yang tidak jelas menyebabkan keadaan yang tidak menentu yang tidak membantu perniagaan dan pelaburan.

Minggu lalu, The Straits Times Singapura bagaimanapun melaporkan dana asing kembali mengalir masuk ke Malaysia, sekali gus membayangkan petanda positif daripada perubahan yang sedang dilaksakan oleh pentadbiran Mahathir.

Dr Mahathir sebelum ini menjelaskan beliau akan berundur selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) dijadualkan pada November ini.– 22 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen