Pemimpin Pakatan patut bangkit isu peralihan kuasa PM dalam parti sendiri


Chan Kok Leong

Tidak adil untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang sedang cuba bersungguh-sungguh memimpin kerajaan, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2020.

AHLI politik Pakatan Harapan (PH) yang tidak berpuas hati dengan kekurangan maklumat berkenaan tempoh waktu peralihan kuasa perdana menteri sepatutnya guna saluran sedia ada dalam parti masing-masing, bukan membuat kenyataan terbuka sepanjang masa, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok.

“Perbalahan yang sentiasa berlaku di luar akan hanya menjejaskan imej kerajaan dan perpaduan gabungan PH.

“Keadaan ini hanya mengganggu semua orang untuk menjalankan tugas membangunkan semula negara ini,” kata menteri industri utama itu kepada The Malaysian Insight hari ini.

Semua empat parti dalam PH – PKR, DAP, Bersatu dan Amanah – yang diwakili dalam majlis presiden, forum tepat untuk perancangan peralihan kuasa dibincangkan, kata Kok.

Ahli PH yang tidak berpuas hati dengan tempoh masa yang tidak jelas dan siapa yang mahukan pertukaran kuasa itu berlaku lebih cepat, sepatutnya membangkitkan perkara berkenaan dengan pemimpin masing-masing.

“Lebih pula, pemimpin setiap parti sudah pun ada dalam majlis presiden,” kata ahli Parlimen Seputeh selama lima penggal itu.

Kok mengulas berkenaan perbalahan terbuka yang berlaku dalam kalangan ahli politik PH berkenaan bila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasanya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Pelan peralihan kuasa itu dipersetujui semua parti dalam PH tetapi tiada tempoh masa yang ditetapkan.

Dr Mahathir hanya berkata beliau memilih untuk menyerahkan jawatannya selepas penganjuran forum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada November.

Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman menegur beberapa ahli politik daripada PKR dan DAP yang asyik mendesak untuk Dr Mahathir meletak jawatan pada Mei, bukannya November.

Ini menyebabkan ramai dalam kalangan mereka yang membuat kenyataan sebagai membalas komen Syed Saddiq.

Minggu lalu, pada satu forum awam, sekumpulan wakil rakyat PKR turut mendesak Dr Mahathir meletak jawatan pada Mei.

Kok berkata semua pihak perlu bertenang dan berhenti memberi tekanan untuk Dr Mahathir meletak jawatan pada Mei.

“Ada banyak tuduhan tidak adil dilemparkan kepada perdana menteri.

“Kaji selidik dibuat tentang siapa yang patut jadi perdana menteri berikutnya, itu tidak adil kepada beliau ketika beliau cuba bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik bagi mengubah kerajaan.” – 22 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen