Setiausaha Pemuda PKR desak Dr Mahathir letak jawatan


Syukri Razab berkata kekalahan dalam beberapa PRK menjadi petanda kelemahan kerajaan diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2020.

SETIAUSAHA Pemuda PKR Syukri Razab mendesak Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri untuk bertanggungjawab atas kelemahan pentadbiran kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) sekarang.

Katanya, kekalahan demi kekalahan PH dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK), yang terbaru di Kimanis pada hujung minggu lalu, adalah petanda kelemahan kerajaan yang diketuai oleh Dr Mahathir.

Syukri berkata sebagai ketua kerajaan Dr Mahathir wajar letak jawatan.

“Saya percaya perdana menteri cukup sedar yang prestasi kerajaan di bawah pimpinan beliau jauh terkebelakang berbanding harapan sebenar rakyat. 

“Justeru atas dasar tanggungjawab, wajarlah Tun Mahathir sendiri sebagai perdana menteri Malaysia meletak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syukri mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa PH boleh jadi kerajaan sepenggal melainkan ia berubah dan pemimpinnya mengurangkan pertelingkahan dalaman.

Bercakap semasa sarapan bersama sekumpulan wartawan di Langkawi semalam Dr Mahathir mengakui sesetengah anggota PH lebih sibuk dengan “siapa jadi apa”, dan terlupa apa yang sepatutnya dilakukan untuk negara ini.

Pada sidang media beberapa jam kemudian, Dr Mahathir menjelaskan PH tidak akan jadi kerajaan sepenggal jika semua pemimpin dan anggotanya menunjukkan perubahan dan kebaikan kepada rakyat yang sudah kerajaan lakukan, sejak mengambil alih pentadbiran pada Mei 2018.

“Kerajaan PH tak pandai nak cerita apa yang mereka buat. Kita kalah dalam tiga hingga empat PRK tapi itu tidak bermakna kita akan kalah dalam PRU besar (PRU15),” katanya, pada sidang media di Langkawi semalam.

Menurut Syukri, beliau setuju tentang pentingnya untuk pemimpin PH kembali fokus pada agenda rakyat.

Namun beliau tidak faham maksud Dr Mahathir mengenai pemimpin PH sibuk bergaduh.

“Sokongan rakyat pasti akan lebih baik sekiranya kerajaan hari ini benar-benar melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan sebelum PRU yang lalu,” katanya. – 21 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen