Kemenangan bukti sokongan tidak berubah di Kimanis, kata BN


SM Amin

Barisan Nasional mengekalkan kemenangan di kerusi Kimanis dengan majoriti 2,029 undi selepas calonnya, Mohamad Alamin memperoleh 12,706 undi menewaskan calon Warisan, Karim Bujang yang menerima 10,677 undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2020. 

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Sabtu membuktikan bahawa Umno dan Barisan Nasional tidak kehilangan sokongan mereka walaupun sebilangan besar pemimpin negeri dan bahagian bertindak meninggalkan parti itu, kata Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Mokhtar Radin.

Bung berkata, ahli akar umbi dan penyokong Umno tetap setia bersama parti dan tidak mengikut langkah pemimpin-pemimpin Umno tersebut selepas parti itu tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kalau lihat jumlah undi yang kita terima semalam, penyokong BN tidak lari. Memang itu undi yang kita ada. 

“Tindakan pemimpin yang keluar parti tidak diikuti ahli-ahli di bawah. Di mana-mana Bahagian Umno di Sabah ini, memang itu yang berlaku,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Pada Disember 2018, Umno Sabah kehilangan dua ahli parlimen, 16 Adun, dua senator dan 22 ketua bahagian apabila masing-masing mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu.

Selain daripada itu kata Bung, kemenangan Barisan Nasional juga berpunca daripada kegagalan Warisan mentadbir kerajaan negeri Sabah selama 19 bulan lalu dari segi ekonomi dan menangani isu rakyat termasuk berkaitan dengan Pas Sementara Sabah (PSS).

“Kerajaan Warisan gagal dalam menguruskan ekonomi, menangani isu rakyat dan mereka tidak mendengar kata-kata rakyat. Berkenaan PSS, rakyat sudah beri teguran jangan dibuat tetapi mereka tidak mahu mendengar,” katanya.

Pada September tahun lalu, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Turut sependapat adalah Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain yang menegaskan bahawa isu PSS akan memberi kesan besar kepada demografi penduduk Sabah yang menjadi kegusaran anak muda di negeri itu.

Jelasnya, anak muda terpaksa bersaing dengan warga asing bagi merebut peluang pekerjaan selain akan menyebabkan anak muda Sabah hilang identiti masing-masing.

“Mereka gusar dengan polisi mesra warga asing ini. Mereka sedar kalau mereka tidak halang atau bantah PSS, demografi penduduk Sabah akan berubah dan mereka akan hilang identiti mereka. 

“Mereka terpaksa bersaing dengan warga asing dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan apabila 600 ribu warga asing diberi dokumentasi untuk tinggal selama mana mereka mahu di Sabah dengan hanya membayar RM40 setahun.

“Kalau kita lihat keputusan semalam, semua undi dari saluran anak muda dimenangi oleh BN. Ini menunjukkan anak-anak muda mulai sedar dan faham bahawa mereka perlu tentukan masa depan mereka,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff akui sokongan yang diperolehi Barisan Nasional sebelum ini tidak berubah dan menyumbang kepada kemenangan dalam PRK Kimanis.

Malah kata Kamarul, bekas-bekas pemimpin Umno yang keluar parti dan menyertai Bersatu juga dilihat tidak bersungguh untuk membantu Warisan kerana parti yang menerajui Sabah itu sendiri terlalu dominan.

“Warisan dilihat sangat dominan, hendak kawal semua. Malah dalam Warisan sendiri juga ada perpecahan, geng Semporna sahaja yang banyak mendapat manfaat. 

“Orang Warisan pula dilihat tidak berapa yakin dengan Bersatu,” katanya.

Sepanjang kempen PRK Kimanis kata Kamarul, Warisan dan Pakatan Harapan gagal menunjukkan kesepaduan dalam kerjasama politik mereka apabila imej Ketua Menteri Sabah lebih ditonjolkan.

Malah kata Kamarul, Warisan juga gagal memanfaatkan tokoh-tokoh Sabah yang lain seperti Lajim Ukin yang hanya diberi peranan kecil untuk membantu kempen mereka.

“Berbeza dengan BN, mereka buat majlis besar membabitkan pemimpin-pemimpin BN nasional, pemimpin PAS dan parti-parti pembangkang yang lain. Jadi nampak ada kesepaduan.

“Warisan juga gagal memanfaatkan kehadiran tokoh-tokoh Sabah seperti Lajim Ukin berbanding Umno yang menonjolkan Anifah Aman walaupun beliau tidak bertanding mempertahankan kerusi yang disandang sebelum ini. 

“Bila pemimpin seperti ini tidak ditonjol, ahli di bawah juga hilang semangat. Pengaruh Joseph Pairin Kitingan dalam mempengaruhi BBI (Bumiputera Bukan Islam) ini besar juga. BBI dilihat solid sokong BN,” katanya.

Kamarul juga menegaskan kempen untuk membeli undi dalam pilihan raya tidak lagi berkesan untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat.

Dalam PRK Kimanis kata Kamarul, beliau mendapati rakyat mengambil pemberian daripada kerajaan namun sokongan mereka terhadap parti yang mereka dukung tidak tidak berubah.

“Ada yang dibayar RM100 untuk dipasang pelekat dan bendera Warisan di rumah tetapi bila saya temui tuan rumah, mereka sokong BN. Mereka ambil duit itu tetapi mereka tidak terpengaruh.

“Mereka pasang sebab diberi duit namun ia tidak diterjemahkan dengan undi. Sokongan seperti ini tidak boleh diharap. Jentera Warisan tertipu dengan sokongan kosmetik ini,” katanya.

Selain daripada itu kata Kamarul, sokongan daripada jentera Barisan Nasional dari Semenanjung juga banyak memainkan peranan mengimbangi kelemahan yang ada pada Umno Sabah.

“Kesungguhan jentera BN dari Semenanjung berjaya mengimbangi kekurangan yang ada pada Umno Sabah. 

“Ketua PDM banyak orang baru dan kurang pengalaman tetapi mereka disokong oleh jentara dari Semenanjung. Ini antara faktor kempen BN berjalan lancar,” ujarnya.

Barisan Nasional mengekalkan kemenangan di kerusi Kimanis dengan majoriti 2,029 undi selepas calonnya, Mohamad Alamin memperoleh 12,706 undi menewaskan calon Warisan, Karim Bujang yang menerima 10,677 undi. – 19 Januari, 2020. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen