Gaduh di Tanjong Karang sebab daftar ahli, kata anggota Bersatu


SM Amin

Bersatu pada minggu ini mengumumkan tarikh pencalonan bagi pemilihan tersebut ditangguhkan dari 13 Januari kepada 26 Januari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2020

PERGADUHAN yang berlaku di antara kumpulan ahli Bersatu di Tanjong Karang pada Sabtu lalu berpunca daripada masalah pendaftaran keanggotaan, kata ahli tempatan.

Salah seorang anggota, Mohd Zaki Abdullah berkata, pergaduhan tercetus apabila beliau dan tiga rakannya mendapati mereka didaftarkan sebagai ahli di tempat lain.

“Bila kita tengok keahlian kami telah bertukar, berlaku sedikit pertengkaran, tolak menolak sehingga menyebabkan komputer riba jatuh dan rosak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Susulan daripada itu kata Zaki, pihaknya telah membuat laporan polis pada 15 Januari lalu berhubung kejadian yang berlaku di Pusat Khidmat Peduli Rakyat Tanjong Karang itu.

Tambah Mohd Zaki, beliau membuat laporan itu bagi menafikan beliau merusuh sewaktu kejadian, yang didakwanya dibangkitkan seorang anggota parti.

Seorang lagi ahli yang berada di tempat kejadian pada waktu itu memberitahu The Malaysian Insight, kes itu turut melibatkan warga emas yang hadir untuk menyemak keahlian.

Kasan Misbah Yusof berkata, beliau turut dikasari oleh seorang pemimpin bahagian sewaktu kekecohan itu.

“Sampai di pejabat, saya lihat seperti ada kekecohan telah berlaku dan sempat menasihatkan mereka semua supaya bertenang.

“Kemudian rakan saya yang mengikut belakang saya telah ditampar oleh setiausaha bahagian,” katanya.

Kes berkenaan menonjolkan masalah dalam daftar keanggotaan ahli parti Bersatu yang sepatutnya mula mengadakan pemilihan bermula di peringkat cawangan pada pertengahan bulan depan.

Masalah dalam daftar ahli itu itu diakui seorang pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu bahagian yang menjelaskan senarai itu terdedah kepada manipulasi oleh pihak berkepentingan.

Pengerusi JPP Bersatu Tanjung Karang Asyraf Rahmat berkata sebelum ini berkata terdapat kelemahan dalam sistem keahlian tersebut memberi ruang yang luas kepada sesiapa sahaja untuk mengubah kedudukan ahli dalam cawangan atau bahagian.

“Mereka hanya perlu masuk dalam sistem, mengakses berdasarkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian. Sesiapa sahaja tanpa batasan dan sempadan.

“Kelemahan sistem ini digunakan oleh pihak berkepentingan. Tidak suka orang itu terus hantar keluar, yang suka bawa masuk dalam. Pasti akan gaduh besar nanti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bersatu pada minggu ini mengumumkan tarikh pencalonan bagi pemilihan tersebut ditangguhkan dari 13 Januari kepada 26 Januari.

Persidangan tahunan cawangan Bersatu dijadualkan bermula pada 15 Februari hingga 29 Mac. – 18 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen