Ubah, atau rakyat turun ke jalan semula, kata Ambiga


Alfian Z.M. Tahir

Ambiga mengatakan bahawa kumpulan masyarakat sivil telah memberikan ruang kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk melaksanakan janjinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Januari, 2020.

PRESIDEN Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Ambiga Sreeneevasan berjanji untuk melaksanakan himpunan di jalanan, jika reformasi tidak berlaku menjelang Jun 2020.

Peguam terkenal itu mengatakan bahawa kumpulan masyarakat sivil telah memberikan ruang kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk melaksanakan janjinya.

“Dalam satu tahun pertama, kami ingin memberi mereka peluang dan banyak daripada kita kecewa, tetapi saya telah mengatakan kepada beberapa pihak dalam kerajaan bahawa jika tidak ada pembaharuan di IPCMC, Sosma dan sebagainya, menjelang Jun tahun ini kami akan bantah di jalan raya,” kata Ambiga hari ini dalam forum Laporan Jawatankuasa Prmbaharuan Institusi (IRC) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur.

Bercakap kepada pemberita, Ambiga berkata masa sudah meruncing dan beliau risau jika Pakatan Harapan tidak dapat melaksanakan beberapa janji penting.

“Jika perkara-perkara ini tidak berlaku, saya rasa ada keperluan untuk mempertimbangkan untuk turun lagi di jalanan. Kami akan melakukannya dengan berat hati tetapi kami tidak mempunyai pilihan kerana bagi saya, mereka benar-benar perlu melaksanakannya tahun ini.

“Saya tidak mengatakan mereka tidak melakukan perkara yang baik. Mereka telah melakukan banyak perkara yang baik. Tetapi ketakutan saya adalah masa yang semakin cepat berlalu dan jika mereka tidak laksanakan beberapa janji, jadi pada saya, tak ada masa lagi untuk tunggu. “

“Kerana tahun depan semua orang akan menumpukan perhatian pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Mengenai laporan IRC, Ambiga berkata bahawa kerajaan sepatutnya mendedahkan ringkasan laporan itu kepada orang ramai.

Beliau mengingatkan Putrajaya bahawa jika mereka mahu orang ramai mempercayai mereka, kerajaan mesti mula mempercayai rakyat.

“Sekurang-kurangnya melepaskan ringkasan cadangan kerana apa yang kita perlukan adalah maklum balas daripada rakyat. Jika anda menyembunyikan maklumat itu, anda akan kehilangan kepercayaan rakyat. Jika anda mahu rakyat mempercayai anda, anda mesti mulakan dengan mempercayai mereka ,” dia berkata.

Bekas pengerusi bekas Bersih 2.0 turut mencadangkan supaya ujian perintis perlu dijalankan jika kerajaan takut akan tindak balas daripada orang ramai jika keseluruhan laporan dikeluarkan.

“Melakukan ujian perintis dan dedahkan ringkasan cadangan, lihat jika kerajaan akan runtuh, apa yang anda takut, ada lebih banyak kelebihan daripada keburukan, bahkan anda boleh melakukannya secara online untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai,” katanya.

Forum itu dipengerusikan Prof Gurdial Singh dari Universiti Malaya dan dihadiri oleh Presiden Hakam S. Ambiga dan pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy.

Pada bulan Mei 2018, IRC ditubuhkan untuk memberi cadangan kepada kerajaan mengenai institusi utama kerajaan, dan telah mengemukakan laporan akhir kepada Majlis Penasihat Negara dan Jabatan Perdana Menteri pada Julai 2018.

Jawatankuasa ini terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Rayuan K.C. Vohrah, bekas hakim Mahkamah Rayuan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot) Brig Jen (rtd) Mohd Arshad Raji, Ambiga dan pakar undang-undang dan profesor undang-undang Shad Saleem Faruqi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong memberitahu akhbar pada 2018 bahawa laporan itu akan dimaklumkan selepas ia dibincangkan secara terperinci oleh kabinet.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga berkata beliau bersedia untuk mengumumkan laporan itu tetapi satu konsensus mesti terlebih dahulu dicapai antara parti-parti dalam gabungan PH. – 18 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen