Bersatu tunggu keputusan mahkamah sebelum ambil tindakan ahli terlibat dadah


SM Amin

Dr Mahathir mengulas sama ada Bersatu akan memanggil Adhif ke lembaga disiplin parti selepas Ketua Armada Selangor itu didapati positif dadah dalam satu serbuan polis di sebuah kondominium di Jalan Puchong, awal pagi Isnin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Januari, 2020.

BERSATU akan menunggu keputusan mahkamah sebelum mengambil tindakan berhubung kes dadah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil Adhif Syan Abdullah, kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Bersatu itu berkata, parti telah mengambil tindakan menggantung jawatan sebagai Ketua Armada Selangor dan tindakan lanjut hanya akan dibuat selepas keputusan mahkamah.

“Kita tunggu keputusan. Parti mempunyai hak untuk ambil tindakan. Tetapi kita tidak boleh anggap mereka bersalah tanpa mahkamah membuat keputusan terlebih dahulu,” katanya dalam satu sidang media di Yayasan Albukhari Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu akan memanggil Adhif ke lembaga disiplin parti selepas Ketua Armada Selangor itu didapati positif dadah dalam satu serbuan polis di sebuah kondominium di Jalan Puchong, awal pagi Isnin.

Susulan daripada itu, Ketua Armada Nasional Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam mesyuarat Majlis Ketua Armada Nasional mengambil keputusan menggantung serta merta jawatan Adhif sehingga polis selesai menjalankan siasatan.

Adhif merupakan salah seorang daripada 17 individu yang ditahan dalam serbuan sekitar pukul 4.40 selepas polis menerima aduan daripada penghuni kondominum terbabit mendakwa terdapat satu aktiviti dijalankan dengan bunyi muzik yang kuat sehingga menganggu ketenteraman awam.

Pemeriksaan polis di premis berkenaan membawa kepada penemuan satu paket serbuk dadah lutsinar dipercayai jenis Ketamine seberat 0.95 gram, satu piring kaca yang mengandungi dadah Ketamine seberat 0.3 gram serta sebatang rokok ceraian daun kering disyaki Ganja.

Sementara itu dalam sidang media yang sama Dr. Mahathir memaklumkan seramai 363,167 ahli Bersatu akan terlibat dalam pemilihan parti di 189 Bahagian seluruh negara.

Jumlah tersebut kata Dr. Mahathir merupakan angka rasmi selepas parti membuat pemutihan ahli sebelum ini.

“Kita sudah laksanakan pemutihan ahli parti sebab itu jumlah ini nampak kecil. Antara sebabnya lambat mendaftar, lambat melaporkan kepada ibu pejabat, tidak bayar yuran. Ini semua normal,” katanya.

Beliau juga turut memaklumkan tarikh baru mesyuarat-mesyuarat diperingkat cawangan, bahagian dan juga perhimpunan Bersatu.

“Mesyuarat cawangan Bersatu akan bermula pada 15 Februari 2020 hingga 29 Mac 2020, Bahagian pada 18 April 2010 dan perhimpunan pada 25 hingga 28 Jun,” katanya. – 17 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen