Dr Mahathir pertahan keputusan Kabinet berhubung PLUS 


Noel Achariam SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap pada sidang media di Yayasan AlBukhary di Tasik Perdana, Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Januari, 2020.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahanan keputusan Kabinet untuk tidak menjual PLUS Malaysia Berhad walaupun menerima tawaran daripada pemain industri dari sektor swasta.

Beliau berkata, Kabinet telah mengkaji semua cadangan yang dibuat oleh beberapa pihak dan memutuskan untuk menjual konsesi lebuh raya.

“Itu sebabnya mengapa mereka (PLUS) menerima (perjanjian) dengan syarat yang kita tetapkan, yang mana oleh Khazanah dan KWSP,” katanya di Yayasan AlBukhary di Tasik Perdana hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Abu Sahid Mohamed yang membidas keputusan “bodoh” Putrajaya untuk tidak menjual PLUS.

“Saya tidak tahu kenapa mereka tidak mahu menjualnya. Mereka tidak beritahu saya kenapa mereka tidak mahu jual,” kata Abu Sahid kepada portal berita Free Malaysia Today semalam.

Taikun itu turut mempersoalkan mengapa tidak dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan itu walaupun syarikatnya dipelawa untuk membida.

Dr Mahathir berkata beliau bukan satu-satunya pembuat keputusan dalam isu itu walapun sudah melihat usul Sahid.

Ketika ditanya sama ada masih ada tol akan wujud selepas konsesi selama 20 tahun itu berakhir, beliau berkata ada kemungkinan tiada lagi tol.

“Tapi masa itu mungkin orang lain memerintah negara ini dan mereka boleh membuat apa saja keputusan yang mereka mahu.”

Dr Mahathir berkata kerajaan percaya bahawa PLUS mampu membayar hutang mereka dengan lanjutan tempoh konsesi itu di bawah syarat yang ditetapkan oleh Khazanah dan KWSP.

Awal hari ini, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kadar tol bagi kenderaan persendirian yang menggunakan lebuh raya di bawah kendalian PLUS akan diturunkan 18% berkuat kuasa 1 Februari dan tiada kenaikan tol sehingga 2058.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet pada 15 Januari lalu. – 17 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen