Kedah miskin kerana komitmen keselamatan makanan, kata Mukhriz


Mohd Farhan Darwis

Fokus pembangunan Kedah tidak menjurus kepada penebangan hutan secara berleluasa yang menjadi sumber ekonomi mudah buat negeri-negeri lain, kata Menteri Besar Mukhriz Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2020.

KEDAH menjadi antara negeri termiskin di Malaysia kerana menyekat pembalakan demi komitmen terhadap jaminan keselamatan makanan, kata Menteri Besar Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata kawasan hutan yang menjadi tadahan air tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya untuk membekal air kepada industri tanaman padi.

“Malangnya, pengeluaran beras tidak menjadikan rakyat kami mewah, ia adalah industri yang memerlukan subsidi kerajaan dan ianya tidak mampan.

“Pengeluaran hasil perlu ditingkatkan pada harga yang sesuai dan pada masa sama petani-petani mampu menjana pendapatan mereka.

“Sejak sekian lama Kedah menjadi antara negeri termiskin kerana komitmen kami terhadap keselamatan makanan,” kata Mukhriz. 

Beliau berkata demikian ketika sesi wacana Pembangunan Ekonomi Dinamik dan Kemakmuran Bersama bertajuk Cara Kedah, di Sunway University, petang tadi.

“Lebih teruk lagi, untuk kami mengeluarkan hasil beras, kita perlukan jumlah air yang banyak, sedangkan di Thailand dan Vietnam mereka tidak menggunakan air sebanyak kami,” katanya.

Beliau berkata, ia sekali gus memerlukan pentadbiran kerajaan negeri Kedah mencari jalan alternatif bagi menambahkan pendapatan negeri.

Kawasan hutan di Kedah yang menjadi tadahan air tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya untuk membekal air kepada industri tanaman padi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2020.

“Untuk hasil pengeluaran beras kami memerlukan kawasan tadahan air, hutan, tasik, dan empangan, yang mana kami tidak boleh mengeksploitasi hasil hutan,” kata Mukhriz.

Sehubungan itu, fokus pembangunan Kedah tidak menjurus kepada penebangan hutan secara berleluasa yang menjadi sumber ekonomi mudah buat negeri-negeri lain, katanya.

“Kami ada hutan tetapi perlu diusahakan dengan cara lain tanpa menebang balak, tetapi dengan membangunkan industri pelancongan contohnya. 

“Kami juga mempunyai bekalan air yang banyak yang turut disalurkan ke dua negeri, Perlis dan Pulau Pinang secara percuma, jadi mungkin itu boleh menjadi pendapatan kami,” kata Mukhriz.

Tambahnya, pembangunan kawasan perindustrian Kulim Hi Tech juga menjadi contoh pemangkin ekonomi untuk Kedah.

“Sewaktu kami membuka KHTP, tiada siapa sangka negeri pertanian seperti Kedah mampu menguruskan industri, tapi kami berjaya buktikan.”

Kawasan itu juga katanya akan diperbesarkan sehingga dua kali ganda daripada saiz asalnya.

Beliau juga berkata pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) akan membantu perkembangan ekonomi Kedah, kerana lapangan terbang itu akan menjadi laluan utama kargo daripada Indo China ke Malaysia.

Sehubungan itu Mukhriz menyambut baik usaha kerajaan untuk membantu negeri-negeri miskin dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2021-2030).

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada September berkata, terdapat jurang antara negeri-negeri dalam pembangunan mereka yang perlu diberi perhatian khusus.

Menurut Dr Mahathir Kedah, Kelantan dan Perlis merupakan negeri miskin yang perlu diberikan tumpuan yang lebih.

Beliau berkata menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerajaan akan berusaha untuk meningkatkan negeri-negeri yang dikategorikan miskin. – 13 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen