Hanya seorang negatif dadah dalam serbuan di Puchong, kata KPN


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Abdul Hamdi Bador berkata suspek berada dalam keadaan khayal di bawah pengaruh dadah ketika serbuan dilakukan pada awal pagi semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Januari, 2020.

HANYA seorang daripada 17 individu yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Puchong pada awal pagi semalam yang membabitkan seorang Adun negatif dadah, kata Abdul Hamid Bador.

Ketua polis negara itu berkata sejumlah ketamin ditemui dan mereka yang berada dalam unit kondominium itu dalam keadaan khayal ketika serbuan dilakukan.

“Kecuali seorang, yang lainnya positif ujian dadah. Ujian saringan kedua akan dijalankan tidak lama lagi,” kata Hamid pada sidang media di Bukit Aman petang ini.

“Pihak polis menerima notis aduan pada jam 4.40 pagi Ahad. Sebaik sahaja tiba ditempat kejadian, anggota polis mendengar bunyi muzik yang kuat, dan mereka (dalam unit kondominium) berada dalam keadaan khayal di bawah pengaruh dadah.

“Suspek kemudiannya dibawa ke balai polis. Mereka dibebaskan selepas keterangan diambil.

“Kami masih menyiasat kes ini untuk menentukan pemilik unit kondominium, dan sekiranya ia sering dijadikan ‘markas’.”

Awal hari ini timbul spekulasi di media sosial bahawa Adun tersebut adalah Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah selepas tersebar gambar berserta mesej mendakwa beliau ditahan di sebuah pusat hiburan di Damansara pada jam 1.30 pagi tadi.

Adhif yang juga ketua Pemuda Bersatu Selangor menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu Malaysiakini beliau berada di rumahnya ketika serbuan.

Bagaimanapun, petang tadi Adhif meberitahu Berita Harian beliau berada di unit kondominium tersebut untuk menghadiri satu sesi perbincangan.

Pada sidang media petang ini, Hamid enggan menamakan kesemua yang ditahan.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pula dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyebut Adhif antara individu berkenaan.

“Saya telah dimaklumkan mengenai kes YB Adhif Syan dan beberapa lagi individu yang telah ditahan polis pada satu serbuan pada awal pagi semalam.

“Susulan penahanan ini, saya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan. Saya tidak akan campur tangan dalam kes ini dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan berdasarkan proses undang-undang.” – 13 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen