Saya di tempat dan pada masa yang salah, kata Adun Dengkil


Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah berkata beliau berada di tempat yang salah dan pada masa yang salah serta menafikan ditahan selepas didapati positif dadah. – Gambar DUN Selangor, 13 Januari, 2020.

ADUN Dengkil Adhif Syan Abdullah berkata beliau “berada di tempat yang salah dan pada masa yang salah” serta menafikan ditahan selepas didapati positif dadah, lapor Berita Harian.

Adhif dilaporkan berkata beliau ke kondominium itu untuk menghadiri sesi perbincangan dan tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Saya tidak boleh memberikan sebarang komen terhadap isu ini kerana ia sedang disiasat malah dinasihati tidak berbuat demikian.

“Namun saya boleh katakan, saya berada di tempat yang salah pada masa yang salah, ...malah saya tegaskan bahawa saya berada di pihak yang benar,” katanya kepada wartawan News Straits Times Press (NSTP) di rumahnya hari ini.

Sumber polis hari ini mengesahkan spekulasi bahawa seorang Adun Bersatu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Puchong awal pagi semalam. 

Seramai 17 individu ditahan dalam serbuan pada jam 4.40 pagi, termasuk seorang pegawai khas menteri dalam negeri dan pegawai kepada Adhif. Kesemua mereka ditahan di lokap Balai Polis Jinjang.

Sumber polis mengesahkan 16 individu positif dadah,

Isu penahanan Adun itu tular di media sosial tetapi Adhif yang juga ketua Pemuda Bersatu Selangor memberitahu Malaysiakini beliau berada di rumahnya semasa serbuan.

Adhif dipetik Berita Harian berkata dakwaan bahawa beliau ditahan reman berkemungkinan untuk menjejaskan imejnya menjelang pemilihan Bersatu tidak lama lagi.

Beliau pelik bagaimana laporan awal polis bocor dan disebarkan.

“Saya musykil bagaimana laporan itu boleh disebarkan kerana itu hanyalah laporan awal sahaja. Saya juga tidak tahu adakah ada pihak lain yang cuba memainkan isu ini,” beliau dipetik berkata.

Menurut Adhif lagi, beliau tidak perkara ini tidak memberinya tekanan dan akan terus menjalankan tugas sebagai Adun.

“Selepas membantu siasatan, saya kembali ke rumah dan tidur seperti biasa dan hanya mengetahui kekecohan di laman sosial apabila bangun pagi tadi.

“Ketika ini pun saya tidak tertekan dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan dan akan seperti biasa meneruskan kerja dan tanggungjawab kepada rakyat sebagai Adub,” kata sambil menegaskan beliau tidak ditahan reman. – 13 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen