Muhyiddin nafi pegawai khas ditahan dalam parti dadah


Individu yang dikatakan oleh sumber polis sebagai pegawai khas Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin itu adalah pegawai di ibu pejabat Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2020.

MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menafikan pegawai khasnya antara 17 individu yang ditahan dalam satu parti dadah di sebuah apartmen di Kuala Lumpur semalam.

Individu yang dikatakan oleh sumber polis sebagai pegawai khas Muhyiddin itu sebenarnya adalah pegawai di ibu pejabat Bersatu.

“Dia merupakan seorang kakitangan di ibu pejabat parti dan bukannya pegawai khas saya sebagaimana yang dilaporkan,” katanya yang juga presiden Bersatu dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin juga berkata Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah antara yang ditahan dalam serbuan itu.

“Saya telah dimaklumkan mengenai kes YB Adhif Syan dan beberapa lagi individu yang telah ditahan polis pada satu serbuan pada awal pagi semalam.

“Susulan penahanan ini, saya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan. Saya tidak akan campur tangan dalam kes ini dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan berdasarkan proses undang-undang,” kata Muhyiddin.

Sumber polis pagi tadi mengesahkan spekulasi bahawa seorang Adun Bersatu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Puchong awal pagi semalam. 

Isu penahanan wakil rakyat itu yang tular di media sosial mendakwa individu dimaksudkan adalah Adhif Syan Abdullah, tetapi Adun Dengkil itu dilaporkan memberitahu Malaysiakini beliau berada di rumahnya semasa serbuan.

Ketua Pemuda Bersatu Selangor itu juga mendakwa beliau bertemu anggota parti di Dengkil, Selangor dan seterusnya pulang ke rumah.

Turut ditahan dalam parti dadah itu adalah pegawai kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Pegawai itu digantung tugas sehingga siasatan polis selesai, kata Syed Saddiq.

Kesemua 17 individu itu dilaporkan ditahan di lokap Balai Polis Jinjang.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dijangka akan mengadakan sidang media berhubung penahanan itu petang ini.

Sementara itu, Biro Disiplin Pemuda PKR mengesahkan anggota Majlis Pimpinan Pusat Pemuda parti itu, Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz juga ditahan dalam serbuan tersebut.

“Biro Disiplin AMK memandang serius terhadap perkara ini dan akan mengkaji sama ada terdapat pelanggaran kod tata etika anggota, mana-mana peruntukan perlembagaan parti atau peraturan AMK dalam kes ini sementara menunggu kenyataan media dari pihak polis,” menurut kenyataan pengerusi biro itu, P Arvindran. – 13 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen