Ribut di selatan Amerika ragut 11 nyawa


Puting beliung yang melanda selatan Amerika Syarikat mengakibatkan kemusnahan teruk di sepanjang pergerakannya di daerah itu. – Gambar EPA, 12 Januari, 2020.

RIBUT yang menyerang selatan Amerika Syarikat membunuh sekurang-kurangnya 11 orang, kata pihak berkuasa.

Angin puting beliung dan angin kencang yang melanda wilayah itu memusnahkan rumah dan menyebabkan bekalan kuasa untuk ribuan rumah terputus.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS, badai itu melanda bahagian selatan AS pada hari Jumaat dan dijangka bergerak ke timur dan utara pada hari Ahad.

Antara yang meninggal dunia dalam bencana terbaru itu ialah seorang anggota polis dan ahli bomba yang dirempuh kenderaan di Texas selepas dipanggil dalam panggilan kecemasan kemalangan jalan raya.

Di Louisiana, dua mayat dijumpai pada hari Sabtu berhampiran rumah mudah alih yang dimusnahkan setelah dilanda ribut malam tadi, kata Bill Davis dari pejabat sheriff daerah itu.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata tiga orang telah disahkan meninggal dunia pada hari Sabtu di Alabama.

Struktur bumbung bangunan juga dilihat tercabut dan wayar kuasa elektrik runtuh di atas jalan raya.

Ribut terbaru itu menyebabkan lebih 200,000 orang terputus bekalan elektrik  kata laman web poweroutage.us, dengan North Carolina dan Alabama di antara kawasan yang paling teruk terjejas. – AFP, 12 Januari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen