Pendedahan audio Najib jejas kredibiliti Pakatan dan SPRM, kata pemimpin Umno


Sheridan Mahavera SM Amin

SPRM mendedahkan sembilan rakaman audio dipercayai antara Najib, Rosmah, pegawai kerajaan dan pemimpin negara asing melibatkan hal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2020.

PENDEDAHAN rakaman audio Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor meningkatkan simpati terhadap bekas perdana menteri itu, kata kalangan pemimpin Umno.

Malah kata mereka tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu hanya memberi kesan buruk kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pemimpin Umno berkata tindakan SPRM mengadakan sidang media untuk mendedahkan rakaman audio itu tidak akan menggugat sokongan terhadap Muafakat Nasional yang melibatkan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Ini kerana kata mereka klip audio itu tidak mencetuskan kebimbangan terhadap mana-mana parti politik tetapi hanya individu seperti Najib, Rosmah dan bekas pegawai semasa berkhidmat untuk bekas perdana menteri itu.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa sidang media itu akan menjejaskan kredibiliti SPRM dan ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya yang berjanji mahu memegang prinsip kedaulatan undang-undang.

“Tindakan SPRM ini sebenarnya positif untuk Umno kerana rakyat dapat melihat ketua SPRM menjadi alat politik,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) Armand Azha Abu Hanifah.

“Sebagai bekas peguam, beliau patut tahu tentang proses perundangan. Tetapi hari ini beliau meletakkan politik lebih tinggi berbanding tanggungjawabnya dalam sebuah badan bebas.

“Akar umbi Umno merasakan bahawa SPRM mengikut arahan kerajaan. (Ini kerana Pakatan) mereka bahang kerana ditolak dalam pilihan raya kecil (PRK),” katanya.

Latheefa berkata rakaman itu jelas menunjukkan berlakunya penyalahgunaan kuasa, konspirasi, pemalsuan bukti dan kebocoran rahsia negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2020.

SPRM mendedahkan sembilan rakaman audio yang dipercayai antara Najib, Rosmah, pegawai kerajaan dan pemimpin negara asing melibatkan hal 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

SRPM mendakwa rakaman pada awal 2016 itu menunjukkan kebimbangan individu yang terlibat cuba berkonspirasi bagi memanipulasi maklumat ekoran skandal 1MDB.

Latheefa berkata rakaman itu jelas menunjukkan berlakunya penyalahgunaan kuasa, konspirasi, pemalsuan bukti dan kebocoran rahsia negara.

Sementara itu, seorang lagi MT, Lokman Nor Adam mendakwa pendedahan SPRM itu bertujuan membantu Pakatan dan sekutunya Parti Warisan Sabah untuk memenangi PRK Kimanis.

“SPRM kini menjadi parti komponen Pakatan ketika Warisan semakin gagal mendapatkan sokongan pengundi di Kimanis,” kata Lokman.

“Jadi mereka menggunakan agensi kerajaan yang sepatutnya menentang rasuah, untuk mencalarkan imej Najib dan Rosmah.”

PRK Kimanis melibatkan saingan dua penjuru antara calon Warisan dan BN.

“Saya melihat perkembangan ini sebagai petanda positif buat Umno. Sejak klip audio itu disebarkan, kita melihat peningkatan sokongan terhadap Najib,” kata Lokman.

“Semasa bersiaran secara langsung di Facebook (sidang media) rakyat tidak percaya tentang pendedahan tersebut. Ramai yang mengkritik (SPRM).”

Lokman Nor Adam mendakwa pendedahan SPRM itu bertujuan membantu Pakatan dan sekutunya Parti Warisan Sabah untuk memenangi PRK Kimanis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2020.

Presiden MCA Dr Wee Ka Siong mengulangi kritikannya terhadap SPRM dengan menyifatkan tindakan agensi antirasuah itu sebagai tidak wajar kerana menyiarkan rakaman itu kepada umum.

“Kali pertama dalam sejarah perkara ini berlaku. Ia akan mewujudkan perbicaraan oleh media dan memberi gambaran buruk,” kata Wee.

“Mahkamah sepatutnya memutuskan sama ada Najib bersalah atau tidak dan beliau perlu berdepan dengannya. Itu yang sepatutnya berlaku. Jika seseorang dituduh di mahkamah, biar keadilan yang menentukannya.”

Naib Presiden PAS  Dr Idris Ahmad mempersoalkan sama ada tindakan mengintip perbualan peribadi antara Najib dan Rosmah sah di sisi undang-undang.

“SPRM boleh mengambil tindakan dalam siasatan mereka tetapi timbul persoalan tentang privasi. Adakah ini bermaksud pada masa depan, perbualan kita bersama keluarga juga akan dirakam?”

Idris berkata pendedahan SPRM itu tidak akan menjejaskan Muafakat Nasional atau hubungan PAS dengan Umno.

“Hubungan PAS adalah dengan parti bukan individu. Masalah peribadi adalah tanggungjawab mereka sendiri,” katanya. – 10 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen