Jangan ulang kecoh mesyuarat tahun lalu, kata akar umbi Bersatu


SM Amin

Isu status ahli adalah antara isu utama yang dibangkitkan oleh pimpinan Bersatu sebelum ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2020.

PIMPINAN Bersatu di akar umbi berharap pemilihan sulung parti, yang akan bermula menjelang hujung bulan ini, tidak akan mengulangi kekecohan di beberapa mesyuarat cawangan tahun lalu susulan masalah status ahli.

Ibu pejabat Bersatu dijadual mengeluarkan senarai rasmi ahli yang sah di cawangan esok, yang akan diguna pakai dalam pemilihan di cawangan dan bahagian nanti.

Dalam mesyuarat di beberapa cawangan tahun lalu, ada senarai nama ahli yang disahkan oleh ibu pejabat Bersatu tetapi tidak sama dengan senarai yang ada di peringkat bahagian.

Naib Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar, Abby Rahim Mat Nor berkata, beliau risau perkara yang sama berulang ketika agenda utama mesyuarat tahun ini ialah pemilihan kepimpinan.

“Kita akui wujud sedikit kelemahan dalam daftar keahlian. Ada ahli yang didaftarkan di satu bahagian tetapi namanya terlepas ke bahagian lain.

“Kita khuatir bila tiba hari persidangan nanti, akan ada ahli yang protes kerana nama tidak ada di cawangan tersebut,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Isu status ahli adalah antara isu utama yang dibangkitkan oleh pimpinan Bersatu semasa siri jelajah pimpinan parti menjelaskan cadangan pindaan perlembagaan Bersatu pada Julai lalu.

Isu status ahli itu turut menjadi punca kekecohan dalam mesyuarat penubuhan dan persidangan beberapa cawangan Bersatu di Melaka, juga pada Julai lalu.

Sekumpulan ahli dari cawangan Bukit Rambai, Pantai Puteri, Bukit Terendak dan Kerubong mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai mesyuarat kerana nama mereka tiada dalam senarai ahli.

Mereka bagaimanapun menuduh nama mereka dikeluarkan dari senarai ahli atas muslihat pimpinan di peringkat bahagian yang mahu mengekalkan kuasa.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Syed Hamid Jaafar Albar berkata, ahli yang layak hadir ke mesyuarat cawangan Bersatu dan mengundi mestilah menjadi ahli yang sah dan telah menjelaskan yuran tahunan selewat-lewatnya pada 31 Disember yang lalu.

“Walaupun yuran setahun hanya RM2, rata-rata ahli ambil mudah. Bila tiba hari persidangan, nama tiada, jadi kecoh. Itu yang kita takut,” kata Abby.

Umno pernah menggunakan sistem yuran tahunan untuk menentukan status ahli. Sistem itu bagaimanapun dihapuskan pada 2009 dan diganti dengan yuran seumur hidup sebanyak RM2, bertujuan untuk membanteras politik wang.

Mesyuarat tahunan cawangan Bersatu dijadual berlangsung antara 25 Januari hingga 1 Mac 2020 sementara mesyuarat bahagian akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 4 April 2020.

Ibu pejabat Bersatu akan mengeluarkan senarai ahli-ahli di cawangan kepada bahagian pada 7 Januari 2020 dan memberikan tempoh selama lima hari untuk aduan dan bantahan.

Ahli Bersatu cawangan Bangi, Arman Putera Asmuni bimbang keadaan akan jadi “panas” selepas ibu pejabat mengeluarkan senarai ahli minggu ini.

Katanya, walaupun parti mempunyai peraturan yang lengkap untuk menghadapi persidangan dan pemilihan, beliau khuatir maklumat itu tidak sampai kepada ahli-ahli di akar umbi.

“Maklumat yang tidak sampai inilah punca ahli-ahli di bawah ini berasa keliru. Dari situlah timbul dakwaan macam-macam,” katanya.

Sementara itu, Bendahari Bersatu Selangor Mohd Shaid Rosli menasihati ahli parti supaya jangan bertindak mengikut emosi.

Beliau meminta mereka menggunakan tempoh yang diberikan oleh parti untuk membuat bantahan, dan bukan menyatakan bantahan mengenai status keahlian semasa persidangan berlangsung.

“Kita ada ruang terbuka dalam parti untuk menyatakan bantahan. Jadi jangan emosi. Kita ada tempoh protes. Gunakan ruang itu dengan baik untuk nyatakan bantahan.

“Ketika pemilihan, ikut prosedur yang sudah ditetapkan oleh JPP. Dengan itu proses pemilihan dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Pemilihan parti bermula di peringkat cawangan pada hujung bulan ini adalah yang pertama sejak Bersatu ditubuhkan pada September 2016. – 6 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen