Wartawan diculik di Syria 3 tahun lalu selamat pulang ke Afrika Selatan


Shiraaz Mohamed diculik pada awal 2017 ketika membuat liputan mengenai pelarian Syria di Darkush dan penculiknya menuntut wang tebusan sebanyak AS$1.5 juta. – Gambar Facebook, 4 Januari, 2020

SEORANG wartawan foto Afrika Selatan yang diculik di utara Syria tiga tahun lepas selamat pulang ke negara asalnya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan keluarganya pada Jumaat.

“Berdasarkan keadaan beliau ketika ini, beliau dan keluarganya meminta untuk diberikan sedikit ruang,” kata anggota keluarganya dalam satu kenyataan ringkas. Ia menambah “mereka akan mengeluarkan kenyataan kepada media pada masa yang sesuai.’’

Shiraaz Mohamed diculik pada awal 2017 ketika membuat liputan mengenai pelarian Syria di Darkush. Penculiknya menuntut wang tebusan sebanyak AS$1.5 juta.

Agensi bantuan Gift of the Givers, yang membawa Mohamed ke Syria dan mengetuai rundingan untuk membebaskannya berkata pada 15 Disember 2019 beliau berjaya meloloskan diri dan berada di bawah jagaan pegawai perisikan Turki.

Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kepulangan Mohamed ke negara itu.

Bagaimanapun rakyat Afrika Selatan di media sosial menyambut baik kepulangan Mohamed dan berkata mereka tidak sabar mendengar kisah bagaimana beliau berjaya melarikan diri. – Bernama, 4 Januari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen