Gencatan senjata tak diendah, enam terkorban di Syria 


Bashar al-Assad bersama sekutunya, Rusia terus mengasak kumpulan-kumpulan pemberontak di Syria. – Gambar EPA, 14 September, 2019.

AKTIVITI tembakan telah membunuh sekurang-kurangnya enam orang awam di Idlib, Syria, kata badan pemantau perang semalam, dua minggu selepas Moscow mengisytiharkan gencatan senjata di wilayah yang didominasi kumpulan jihadis itu.

Gencatan senjata yang menghentikan siri pengeboman selama empat bulan di Idlib oleh kerajaan dan sekutunya Rusia, sebahagian besarnya telah berjaya menghentikan tembakan artileri dan serangan udara.

Bagaimanapun, pada hari Selasa, Rusia melakukan serangan udara pertama di kawasan tersebut sejak gencatan senjata bermula, kata Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.

Pada hari Jumaat, tembakan roket oleh pihak rejim di bandar-bandar Maaret Al-Numan dan Kafranbel di wilayah selatan Idlib membunuh lima orang awam termasuk kanak-kanak, menurut badan itu lagi.

Orang awam keenam pula terbunuh dalam serangan udara Rusia di wilayah pedalaman barat wilayah itu, katanya.

Serangan itu menjadikan jumlah keseluruhan 11 orang terbunuh sejak gencatan senjata dikuat kuasa, jelas badan yang berpangkalan di Britain itu.

Perikatan Hayat Tahrir al-Sham yang diketuai oleh bekas ahli gabungan Al-Qaeda Syria mengawal sebahagian besar Idlib serta sebahagian wilayah Aleppo dan Latakia.

Wilayah yang memiliki penduduk sekitar tiga juta orang, dan kebanyakan mereka turut bertemput di kawasan lain, merupakan salah satu pertahanan terakhir mereka yang membantah Presiden Syria Bashar al-Assad.

Badan pemantau itu pada Sabtu melaporkan tembakan yang dilancarkan oleh rejim di pelbagai bahagian selatan Idlib, termasuk di kawasan berhampiran pusat tentera Turki.

Serangan udara Rusia juga menyasarkan kumpulan jihadis di kawasan pedalaman barat Idlib dan kawasan berhampiran di Latakia.

Gencatan senjata itu adalah yang kedua sejak Damsyik meningkatkan operasinya di kawasan itu pada April, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 980 orang awam terkorban. – AFP, 14 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen