Artis ajak anak muda daftar mengundi


Aktivis Marina Mahathir merupakan antara yang muncul dalam video terbitan Watan untuk mengajak golongan belia mendaftar sebagai pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2017.

PERTUBUHAN aktivis pilihan raya, Watan memanfaatkan pengaruh artis popular dan aktivis dalam usaha mereka untuk menarik anak muda mendaftar sebagai pengundi. 

Marina Mahathir, Altimet, Daphne Iking dan Remy Ishak merupakan antara aktivis dan artis popular tanah air yang terbabit dalam klip video terbitan Watan untuk meningkatkan bagi tujuan itu.

Dengan lebih 3.7 juta warganegara Malaysia masih belum mendaftar, dengan dua pertiganya adalah terdiri daripada mereka yang berumur antara 21 dan 30 tahun menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Watan mengambil pendekatan untuk menawan hati dan minda generasi muda.

“Selebriti memiliki pengikut yang ramai dan kita hanya menggunakan rangkaian ini,” kata Pengarah Eksekutif Watan, Masjaliza Hamzah kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, kaedah ini bukanlah sesuatu yang baharu dan ia pernah digunakan dalam kempen di seluruh dunia seperti ‘Rock Your Vote’ di Amerika Syarikat dan penyanyi rap untuk Jeremy Corbyn pada pilihan raya UK baru-baru ini.

Mendapatkan bantuan selebriti yang tidak berkaitan dengan mana-mana parti politik juga membantu menjadikan kempen itu tidak berpihak, yang menjadi prinsip utama Watan.

“Kami tidak mahu kaitkan kempen daftar mengundi ini dengan parti politik. Memang ada ruang untuk itu, tetapi ia bukan peranan Watan. Matlamat kami adalah untuk meningkatkan pendaftaran pengundi,” kata Masjaliza.

“Siapa yang akan dipilih oleh pengundi muda ini akan ditentukan oleh mereka sendiri.”

Video pertama yang dilancarkan Watan bertajuk “Action up. Be Heard” dalam kempen daftar mengundi mengetengahkan aktivis Marina Mahathir, penyanyi dan pelakon Sasha Saidin, produser filem Reuben Kang, penyampai radio dan televisyen Aishah Sinclair dan model Lee Yvonne disiarkan pada April lalu.

Video kedua yang diterbitkan pada Oktober menyaksikan pengacara Daphne Iking, penyanyi rap Altimet dan pelakon Fathia Latif dan Remy Ishak yang meminta belia untuk mendaftar sebagai pengundi.

Bagi memanfaatkan penggunaan WhatsApp dalam kalangan rakyat Malaysia, yang merupakan pengguna tertinggi di dunia menurut Digital News Report 2017, Watan turut menghasilkan versi mesra aplikasi untuk video terbaharu mereka.

Watan mahu menjadikan ia mudah untuk rakyat Malaysia berkongsikan video antara rakan dan keluarga. Jadi tidak perlu untuk klik pada pautan untuk dikongsikan,” kata Masjaliza.

Video berkenaan ditonton 1,200 penonton di Youtube, namun mendaftar sebagai pengundi hanya satu langkah dalam proses demokrasi dan pembinaan negara.

Watan juga berharap untuk memperkasa serta mendidik belia menjadi generasi yang lebih peka terhadap politik dan melampaui pendaftaran pemilih.

“Bila sudah daftar sebagai pengundi, lepas itu apa yang berlaku?” soal Liyana Yusof yang merupakan rakan sekerja Masjaliza dan koordinator publisiti Watan.

“Kita tidak dibesarkan untuk menjadi aktif dalam politik, kumpulan yang memiliki kesedaran sosial. Sebenarnya, mengamalkan hak demokrasi akan menyebabkan kita digugurkan atau biasiswa kita ditarik balik.

“Jadi, tidak hairanlah jika sebahagian besar daripada pengundi merasakan mereka tiada kuasa.”

Liyana kini dalam proses untuk mengadakan program pendidikan pengundi untuk Watan yang merangkumi topik seperti proses mengundi sebenar, kempen pilihan raya dan kenali wakil anda.

“Membuat keputusan tidak sepatutnya didominasi hanya warga emas. Golongan muda Malaysia perlu turut serta dan terlibat dalam proses membina negara.

“Mengambil bahagian dalam proses politik adalah sebahagian daripada menjadi rakyat Malaysia..ia lebih daripada menjadi pengguna matang dan pekerja yang rajin.”

Namun buat masa ini, Watan akan terus mencuba kaedah baharu untuk mendekati golongan belia, termasuk menggunakan media sosial atau melalui video atau cabaran. – 1 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen