Maszlee Malik akan letak jawatan hari ini, kata sumber


The Malaysian Insight

Maszlee Malik dijadual mengumumkan peletakan jawatannya selepas bertemu Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri petang ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2020.

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik dijangka akan mengumumkan letak jawatan dari Jemaah Menteri hari ini, kata sumber, sekali gus membuka jalan kepada rombakan Kabinet ketika Pakatan Harapan (PH) terus bergelut meraih keyakinan rakyat sejak mengambil alih Putrajaya 20 bulan lalu.

Beliau dijadual mengumumkan peletakan jawatannya petang ini, selepas mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri.

Seorang sumber memberitahu Maszlee berundur dari Kabinet kerana “dilihat menimbulkan banyak krisis” kepada pentadbiran Dr Mahathir.

“Peletakan jawatan ini akan memaksa rombakan Kabinet,” kata sumber yang enggan dinamakan kepada The Malaysian Insight.

Awal hari ini, media mendapat jemputan untuk membuat liputan sidang media khas oleh Maszlee, yang dijadual pada pukul 4.30 petang ini di Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

Dalam pada itu, seorang sumber lain memberitahu ada ura-ura bekas menteri Mustapa Mohamed akan dibawa masuk menganggotai Kabinet.

Ahli Parlimen Jeli itu menyertai Bersatu pada Oktober 2019, setahun selepas meninggalkan Umno.

Mustapa pernah menganggotai Kabinet antara 1995 dan 1999, semasa Dr Mahathir pertama kali jadi perdana menteri. Beliau kemudian berkhidmat semula sebagai menteri dalam pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi antara 2004 dan 2009.

Beliau pernah memegang portfolio kewangan, pendidikan tinggi, pembangunan usahawan dan pertanian.

Ada ura-ura bekas menteri Mustapa Mohamed akan dibawa masuk menganggotai Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2020.

Persoalan rombakan Kabinet mula berbangkit seawal Mei 2019, genap setahun PH membentuk kerajaan selepas menyingkirkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Pelbagai pihak ketika itu menyuarakan pandangan malah mendesak Dr Mahathir merombak kabinetnya susulan prestasi beberapa menteri yang dianggap gagal memenuhi harapan rakyat.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata beliau berpuas hati dengan prestasi mereka.

“Mereka telah menunjukkan prestasi baik, tiada sebab untuk saya merombak Kabinet,” katanya pada sidang media khas sempena ulang tahun pertama kerajaan PH pada awal Mei lalu.

Perdana menteri bagaimanapun memberi penilaian 5 mata dalam skala 1 hingga 10 markah, atau 50%, terhadap prestasi mereka.

Sejak itu, isu rombakan Kabinet timbul beberapa kali, dan setiap kali itu juga ditepis oleh Dr Mahathir yang mengulangi kenyataan beliau berpuas hati dengan pasukan menterinya.

Desakan itu berbangkit lagi pada hujung November lalu selepas PH kalah Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, disuarakan sendiri oleh pemimpin kanan Bersatu dalam mesyuarat parti.

Seminggu selepas itu, semasa dalam lawatan di Korea Selatan, Dr Mahathir bagaimanapun berkata rombakan Kabinet tidak menjamin hasil yang lebih baik dan beliau berpuas hati dengan barisan menterinya.

Namun Dr Mahathir menjelaskan sekiranya rombakan perlu, beliau akan berhati-hati agar tidak tersalah pilih anggota pasukannya. – 2 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen