Semoga 2020 tahun lebih baik untuk media


INDUSTRI media dan kewartawanan Malaysia melalui tahun suram sepanjang 2019 dengan beberapa berita sedih yang kita hadapi.

Antara lain, penutupan Utusan Melayu bukan sahaja memberi tamparan kepada ratusan #kawangeramm yang terlibat, tetapi juga industri media secara keseluruhan.

Turut menerima nasib yang sama, ratusan lagi #kawangeramm menerima kesan daripada keputusan mengecilkan operasi Kumpulan Media Prima dan NSTP serta pembubaran akhbar Tamil Nesan. 

Selain itu, beberapa kejadian melibatkan kekasaran terhadap wartawan yang antaranya turut melibatkan kecederaan fizikal, adalah amat dikesali.

Pada masa sama, Geramm meraikan semangat solidariti yang dizahirkan dalam bentuk bantuan secara langsung atau tidak langsung. 

Tahun 2019 juga merakamkan sejarah apabila akhirnya Akta Berita Tidak Benar 2018 yang kami tentang selama ini akhirnya ditarik balik beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun penentangan masih akan diteruskan terhadap beberapa lagi undang-undang yang mengekang media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, selain Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Geramm mengulangi pendirian bahawa semua peruntukan undang-undang tersebut perlu dimansuhkan, ke arah merealisasikan penubuhan badan bebas Majlis Media Malaysia

Menyentuh mengenai Majlis Media Malaysia, Geramm bersama Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJ), Institute of Journalists (IoJ) Malaysia, Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM) di bawah nama Perikatan Wartawan/Journalist Alliance (JA) telah menghasilkan salah satu draf cadangan Majlis tersebut.

Wakil kami akan terus memantau perkembangan berkaitan setelah turut terlibat dengan perbincangan bersama masyarakat sivil, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta penasihat media perdana menteri, A. Kadir Jasin dalam usaha tersebut. 

Bermulanya hari baru pada tahun dan dekad yang baru, masih terlalu awal bagi kami untuk meletakkan harapan terlalu tinggi, apatah lagi menjanjikan kejayaan institusi Majlis Media tersebut. 

Namun begitu, Geramm menegaskan tuntutan agar kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji kebebasan media dengan memansuhkan akta-akta yang mengekang kewartawanan.

Kami juga mengulang seruan agar kerajaan bersedia memastikan Majlis Media yang ditubuhkan nanti benar-benar bebas daripada kawalan pihak politik, pihak berkuasa mahupun pihak korporat.

Menyentuh isu kawalan, antara kebimbangan yang ditimbulkan oleh #kawangeramm sepanjang tahun lalu adalah melibatkan monopoli entiti media Malaysia.

Hal ini dikatakan menjadi pencetus utama kehilangan ratusan pekerjaan di beberapa syarikat media.

Geramm percaya dengan keperluan mewujudkan landskap media negara yang lebih terbuka dan diperkemas melalui pengenalan beberapa undang-undang relevan seperti Akta Pemilikan Media yang memastikan pelabur dan pemilik syarikat media dapat dikenalpasti secara telus dan terang.

Dengan perkara ini dan pemansuhan akta-akta yang mengekang perkembangan syarikat media selama ini, kita boleh melihat industri media semakin bercambah, tambah pula dengan kebanyakan daripada industri kewartawanan hari ini telah beralih kepada platform digital dan dalam talian (online).

Ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat untuk menilai dan memilih bahan berita selain menyelesaikan masalah lambakan pekerja media yang berpengalaman yang telah kehilangan kerja kerana keputusan perniagaan selama beberapa tahun ini.

Akhir sekali, Geramm menyeru agar semua wartawan bersama dalam usaha menjayakan kebebasan media di negara ini.

Seruan Journalism First! atau Kewartawanan Perdana! harus disemat dalam menjalankan tugas kepada masyarakat sebagai pengawas awam, aktivis, pemerhati, pendidik, penghibur dan penulis kronologi kontemporari di mana-mana peringkat.

Kepada rakyat, teruslah menyokong kewartawanan yang bebas, telus dan bertanggungjawab kerana ia mampu memberi suara kepada mereka yang dilupakan selain sebagai semak imbang kepada mereka yang berkuasa. 

Janganlah rela membiarkan kewartawanan dikawal oleh golongan berkuasa sahaja.

Terima kasih kepada semua yang bersama kami dalam perjuangan selama ini dan semoga tahun 2020 akan membawa kita semua ke tahap yang lebih baik lagi. –1 Januari, 2020.

* Sekretariat Gerakan Media Merdeka (Geramm).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen