Sisi gelap pemilikan politik dalam media


GERAKAN Media Merdeka (Geramm) mendapat berita sedih mengenai keputusan pemegang saham dan pemilik kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd menutup syarikat, memberhentikan pekerja dan operasi akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Kami memahami keputusan itu dibuat atas dasar keadaan kewangan.

Namun pada masa sama, kami menyeru warga media untuk bersolidariti bersama seluruh #kawangeramm di Utusan dan Kosmo.

Kami menuntut pihak pengurusan Utusan agar segera menyelesaikan masalah gaji dan tuntutan caruman warga kerja mereka yang sehingga kini masih tertunggak berbulan-bulan.

Kementerian Sumber Manusia harus memainkan peranan bagi memastikan agar semua pekerja yang terjejas diberikan pembelaan serta dijamin pampasan sewajarnya mengikut undang-undang.

Dalam pada itu, Geramm mahu mengingatkan semua pihak agar belajar daripada babak suram ini dan cuba mencari jalan untuk memastikan agar ia tidak menzalimi mana-mana pihak terutamanya wartawan dan pekerja media.

Babak ini juga menunjukkan betapa pemilikan politik terhadap kumpulan media mempunyai sisi gelap dan negatif.

Pada masa yang sama, Geramm turut bimbang perkembangan berkaitan penjualan permit dua akhbar ini kepada entiti baru, atas dasar kemungkinan wujud monopoli atau dominasi syarikat media di tangan segelintir pihak.

Kami mengambil kesempatan ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan di Kumpulan Utusan yang terlibat.

Kami akan terus mendoakan masa depan lebih baik kepada mereka yang terkesan akibat keputusan syarikat ini.

* Gerakan Media Merdeka atau Geramm merupakan kumpulan pro kebebasan media Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen