Kakitangan Media Prima perlu dapat pampasan sewajarnya


Gerammm berkata pekerja bergantung sepenuhnya kepada pampasan itu sedangkan pihak pengurusan syarikat sudah dibayar gaji yang lumayan. – Gambar Youtube, 15 Disember, 2019

KETIKA Media Prima Bhd bersedia mengurangkan kakitangan mereka esok, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menggesa agar semua pekerja terjejas menerima pampasan sewajarnya.

Geramm berkata gesaan ini dibuat susulan aduan terdapat segmen dalam peringkat pengurusan syarikat terlebih bayar selama bertahun-tahun dan menyumbang kepada masalah kewangan syarikat.

Mereka berkata The Malay Mail, yang memetik sumber melaporkan: “Sembilan puluh tujuh dalam pengurusan Media Prima Berhad mempunyai gaji melebihi RM15,000 sebulan. Di NST sahaja tujuh orang bergaji RM300,000 sebulan iaitu RM3 .6 juta setahun.

“Mana yang akan anda potong? Tujuh tenaga kerja berjumlah RM7,000 sebulan, iaitu RM588,000 setahun atau RM3.6 juta bagi tujuh orang?” kata sumber itu.

Geramm berkata, mereka difahamkan kesemua individu ini dipilih memegang jawatan berkaitan bukan editorial, contohnya jabatan pengiklanan dan jawatan pengurusan.

“Kami menyeru agar lebih banyak perhatian dan tumpuan diberikan kepada kakitangan teras yang mata pencarian mereka bergantung kepada industri media di Malaysia.”

Kakitangan di Media Prima Bhd, syarikat media terbesar di negara itu, akan mengetahui esok sama ada mereka termasuk dalam senarai pemberhentian.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, surat itu sepatutnya diserahkan pada Jumaat tetapi ditangguhkan kerana ia melibatkan sejumlah besar kakitangan.

Seorang daripadanya berkata, mereka dimaklumkan oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang butiran surat masih dikaji oleh pihak pengurusan.

Geramm juga ingin menarik perhatian terhadap pemilik media yang mempunyai hubungan langsung atau kaitan kepada entiti politik atau pemimpin.

“Walaupun tiada undang-undang menghalang amalan sedemikian, kebimbangan sebenar - baik di Malaysia dan negara lain - adalah bagaimana ia terus membatasi peranan wartawan sebagai ejen semak dan imbang, dan menyampaikan maklumat untuk rakyat.

“Geramm mengulang seruan oleh rakan kita dalam persaudaraan yang situasi sekarang tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan masing-masing.

“Percubaan mempolitikkan situasi tidak akan membantu rakan kita yang memerlukan, tetapi hanya akan memburukkan lagi keadaan mereka yang sudah malang.

“Fokus harus diberi kepada usaha memperjuangkan hak pekerja yang terlibat.”

Antara syarikat di bawah Media Prima adalah akhbar New Straits Times dan Berita Harian serta TV3, NTV7, 8TV dan TV9. – 15 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen