Nasib kakitangan Media Prima ditentukan Isnin


Diyana Ibrahim

Media Prima yang merekodkan kerugian lebih RM49 juta pada suku pertama 2019 itu memiliki 100% kepentingan dalam syarikat siaran televisyen terestrial TV3, NTV7, 8TV dan TV9. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2019.

KAKITANGAN Media Prima Bhd kini kurang semangat untuk bekerja kerana masih tidak tahu masa depan mereka di syarikat media terbesar dalam negara itu.

Menurut kakitangan ini, perkara itu hanya akan dapat dijelaskan dalam surat daripada pengurusan syarikat yang dijangka akan diterima pada Isnin.

Salah seorang daripadanya berkata surat tersebut didakwa akan diedarkan kepada kakitangan terlibat pada Jumaat tetapi ditangguhkan.

Menurut kakitangan ini, mereka dimaklumkan oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) bahawa butiran dalam surat itu masih sedang diteliti kerana melibatkan jumlah kakitangan yang besar.

“Mengikut apa yang NUJ beritahu, pihak pengurusan tidak sempat untuk semak kembali surat.

“Terlalu banyak surat dan ada senarai nama yang sudah dimuktamadkan tapi lewat untuk disahkan, (pengurusan tertinggi) jadi mereka tak sempat semak.

“Surat akan diberikan pada pekerja yang terbabit dalam pemberhentian Isnin ini,” kata kakitangan itu yang enggan dinamakan ketika bercakap kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Pengerusi NUJ Cawangan NSTP, Farah Marshita Abdul berkata beliau juga hanya akan mengulas perkara itu pada Isnin.

Seorang lagi kakitangan berkata mereka kini tidak bersemangat untuk bekerja dan menyalahkan pihak pengurusan kerana menyebabkan syarikat menanggung hutang tinggi.

“Ramai yakin bahawa masalah ini disebabkan oleh kegagalan pengurusan syarikat di peringkat tertinggi.

“(Mereka) tidak mampu membawa apa-apa pun keuntungan yang substantif walaupun mempunyai pelbagai platform untuk pengiklanan, yang menjadi sumber pendapatan utama syarikat,“ katanya.

Beliau yang sudah berkhidmat lebih lima tahun itu berkata, kakitangan sepertinya tidak tahu apakah usaha lain oleh pihak pengurusan untuk menyelamatkan syarikat, selain memberhentikan kakitangan.

Media Prima yang merekodkan kerugian lebih RM49 juta pada suku pertama 2019 itu memiliki 100% kepentingan dalam syarikat siaran televisyen terestrial TV3, NTV7, 8TV dan TV9.

Kumpulan itu juga pemilik The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad yang merupakan penerbit tiga akhbar nasional Malaysia – The New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Pada November lalu, syarikat itu mengumumkan akan melaksanakan transformasi perniagaan dan penstrukturan semula dalaman yang dijangka selesai pada suku pertama 2020.

Pada bulan itu juga, timbul ura-ura bahawa Media Prima akan memberhentikan sehingga 1,500 orang kakitangan.

Penstrukturan semula itu diumumkan selepas jutawan Syed Mokhtar Albukhary membeli lebih banyak saham dalam Media Prima melalui syarikatnya Media Mulia Sdn Bhd.

Media Mulia juga memiliki Utusan Melayu (M) Bhd, penerbit akhbar Utusan Malaysia yang menghentikan operasi pada Oktober. – 14 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen