Apa nasib ribuan kakitangan Media Prima?


TIDAK dinafikan cabaran ekonomi dunia yang berlaku masa kini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perjalanan ekonomi di Malaysia, khusus buat konglomerat dan syarikat besar yang beroperasi di negara ini.

Saban hari, ada sahaja berita kita dengar mengenai syarikat mengalami kerugian, mengecilkan operasi, memberhentikan pekerja, malah lebih teruk terpaksa gulung tikar dan diberhentikan operasi.

Dalam industri media misalnya, tidak dinafikan mereka mengalami tempoh sukar dan baru-baru ini nasib pekerja di syarikat Utusan Melayu yang memberhentikan operasinya Oktober lalu, masih tidak diketahui sehingga kini.

Terbaharu, Pemuda Umno Johor difahamkan Media Prima Berhad dalam perancangan untuk mengecilkan operasinya dengan menawarkan skim pemberhentian kepada ribuan kakitangannya di seluruh negara dan berita ini suatu yang amat mengejutkan bagi sebuah konglomerat besar media di Malaysia.

Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku? Tidak adakah usaha daripada kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) untuk membantu dan mengelakkan perkara ini berlaku, apatah lagi membela nasib mereka yang bakal hilang pekerjaan, sumber rezeki menyara anak dan keluarga.

Sedangkan rangkaian dan platform berita di bawah kendalian Media Prima Berhad kebanyakkannya membawa suara dan menjadi “frontline” menyalurkan maklumat, usaha dan dasar kerajaan PH hari ini.

Di manakah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang selama ini lantang bersuara dalam Parlimen ketika menjadi ahli Parlimen Pembangkang dahulu? Mana suara beliau dalam mempertahankan dan menjawab segala isu yang berlaku dalam industri media di negara ini?

Apakah relevan janji menyedialan 1 juta peluang pekerjaan berkualiti, sedangkan ribuan rakyat Malaysia berdepan situasi sukar diberhentikan secara tiba-tiba?

Adakah kerajaan PH langsung tidak ambil peduli situasi yang berlaku sekarang ini?

Apakah usaha kerajaan PH mahu memulihkan keadaan ekonomi negara dan mengelak lebih banyak syarikat gulung tikar?

Satu tindakan konkrit perlu dikeluarkan khusus bagi mengelak situasi pembuangan kerja, pada masa sama membela nasib mereka yang diberhentikan ini.

Justeru, Pemuda Umno Johor mendesak kerajaan PH memberi jawapan kepada isu ini terutama menerangkan situasi semasa kepada umum terutama bagi mengembalikan keyakinan pelabur yang sedikit sebanyak terjejas melihat keadaan perniagaan yang semakin “huru-hara” di negara ini.

Tempoh hampir dua tahun ini janganlah “dikorbankan” ramai lagi rakyat yang hidup mereka kini sudah pun dihimpit pelbagai masalah terutama kos sara hidup yang semakin tinggi.

Janganlah menambahkan lagi statistik pengangguran di negara ini yang sudah pun berada pada tahap membimbangkan. – 14 Disember, 2019.

* Mohd Hairi Mad Shah adalah ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen