Usah adu kes di media, kata Lembaga Disiplin Umno


SM Amin

LEMBAGA Disiplin Umno meminta ahli parti membuat aduan secara rasmi berhubung pelanggaran perlembagaan dan tataetika dan bukan melalui kenyataan media atau perbualan dalam talian.

Ketua Jabatan Pengurusan Disiplin Umno Zulkifli Ibrahim berkata demikian bagi mengulas kes melibatkan aduan ke atas presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Tuduhan itu juga berkait dengan tindak-tanduk bekas naib presiden Hishammuddin Hussein dan pengadu kes, ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

Tegas Zulkifli, tuduhan berkaitan akan dapat disiasat jika dimajukan ke saluran betul.

“Ada yang buat kenyataan akhbar, hantar (kiriman) WhatsApp lepas itu tanya bila Lembaga Disiplin hendak panggil siasat. Macam mana hendak siasatan kalau prosedur tidak betul.

“Kena buat aduan rasmi secara bertulis mengikut format yang kita tetapkan,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Ia bermula apabila Lokman mengadu kepada Lembaga Disiplin, akhir Oktober lalu bahawa bekas naib presiden parti, Hishammuddin cuba membawa ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu.

Ekoran itu, Hishammuddin diheret ke Lembaga Disiplin bagi prosiding tunjuk sebab kerana didakwa melanggar perlembagaan dan tataetika parti.

Kemudian, Presiden Umno Zahid pula dilaporkan berkata, surat tunjuk sebab bertarikh 13 Disember itu tidak sah dan membawa kepada pembatalan prosiding tersebut.

Susulan itu pengerusi lembaga itu Apandi Ali dengan sekonyong-konyong meletak jawatan dan memberi alasan beliau tidak mahu menjadi kuda tunggangan politik.

Pengerusi Lembaga Displin Umno Apandi Ali meletak jawatan dan memberi alasan beliau tidak mahu menjadi kuda tunggangan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2020.

Rentetan itu juga, Lokman mendakwa ada usaha menyekat Lembaga Disiplin Umno menjalankan siasatan secara bebas.

Tanpa berselindung, Lokman menamakan Zahid sebagai individu yang menghalang siasatan lembaga disiplin.

Zulkfili kembali menjelaskan, jabatan itu akan menetapkan satu tarikh untuk memanggil pengadu bersama saksi dan bukti untuk pendengaran.

Katanya kes tersebut hanya akan diangkat ke tribunal selepas jawatankuasa siasatan berpuas hati dengan keterangan saksi dan bukti yang dilampirkan.

“Selepas kita cukup bukti dan keterangan saksi, siasatan akan mencadangkan kes tersebut dibawa ke tribunal.

“Bila sudah dibawa ke tribunal, kita akan keluarkan surat tunjuk sebab kepada orang yang kena tuduh,” katanya.

Lokman Adam menuduh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menghalang Lembaga Displin melakukan siasatan bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2020.

Di peringkat tribunal yang dianggotai panel lain pula, pengadu dan saksi akan dipanggil sekali untuk beri keterangan bagi perkara-perkara yang dirasakan masih kabur dalam laporan siasatan.

“Di peringkat ini kalau hendak tarik balik kes pun boleh. Jika pengadu tidak tarik kes, pada hari yang sama disebelah petang, kita akan panggil orang yang kena tuduh pula.

“Nampak prosedurnya banyak tetapi kita sebenarnya hendak mencari keadilan kepada pengadu dan juga pihak yang kena tuduh,” ujarnya.\Kalangan pemimpin Pemuda Umno pula mendesak agar Lembaga Disiplin parti mengenakan hukuman kerana menyerang presiden parti, Zahid.

Antaranya Ketua Pemuda Umno Selangor Rizam Ismail berkata Lokman dikenakan hukuman yang setimpal kerana menuduh Zahid cuba menyekat siasatan lembaga itu.

“Tindakan hukuman yang setimpal ini juga amat perlu sekali dibuat sebagai pengajaran kepada ahli ahli Umno yang lain,” katanya.

Ia juga bagi menjaga maruah institusi presiden Umno daripada diserang tanpa mengikut hukum kebebasan bersuara mengikut amalan parti, katanya.

Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah pula mahu parti mengambil tindakan tegas dengan memecat Lokman sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno dan juga ahli Umno.

“Tindakan tegas ini penting kerana ketika Umno sedang membina kembali kekuatan, ia tidak boleh diganggu gugat ataupun dirosakkan oleh parasit ataupun anai-anai dari dalam parti sendiri,” katanya. – 4 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen