Hitam putih kehidupan menjelang 2020


Zainal Rashid Ahmad

SEMINGGU lagi muncul tahun baru. Pada era manusia mudah berasa klise, sambutan 1 Januari pada Rabu depan boleh berubah menjadi sekadar ritual.

Secara klise, ia boleh saja ditanggap sekadar datangnya satu kitaran waktu 365 hari setahun.

Bagi penggila beli-belah atas talian, 1.1 ialah tarikh berbelanja sakan. Sesuai dengan kegilaan transaksi perniagaan digital yang membina gaya hidup baru tiga tahun lalu.

Puluhan juta ringgit akan berpindah ke Lazada dan Shopee. Pembeli mengejar selabuh-labuh gaun hingga sekecil-kecil pin tudung. Gincu dan losyen akan diborong melebihi keperluan beras dan gula.

Malah, drama lelongan secara Facebook Live oleh ratusan pemilik produk juga dijangka hangat. Trend berbelanja melalui Facebook Live kini satu fenomena.

Itu klise yang boleh diramal menjelang 1.1. 2020.

Keghairahan meraikan tahun baru tidak lagi relevan dengan lafaz azam dan iltizam. Apa lagi keghairahan bercakap mengenai kenegaraan.

Lebih sedekad politik tempatan bergelut dengan persekitaran yang tegang. Sedekad yang sama tegang dengan sejarah Arab Spring sejak Disember 2010 di Algeria.

Demonstrasi dan reformasi

Pada 2011, Revolusi Jasmine dunia Arab merebak pantas ke Tunisia dan Mesir. Malah, Syria dan Libya bermandi darah hingga hari ini.

Di Malaysia, gerakan pembaharuan politik bermula di jalanan pada 10 November 2007. Itu penanda aras Reformasi Bersih.

Cuma, rali demonstrasi bagi sedekad yang panjang bermula dengan perarakan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011. Diikuti Bersih 3.0 pada 28 April 2012.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013, dan kerusi Barisan Nasional (BN) menyusut di Parlimen serta skandal 1MDB tersebar di seluruh dunia, reformasi jalanan terus memuncak.

Gerakan Bersih 4.0 kembali pada 29 dan 30 Ogos 2015. Seperti Bersih 3.0, banyak insiden dramatik dan tragik tercetus di jalanan.

Sebagai wartawan, saya berada di lokasi dan turut terperangkap antara tembakan gas pemedih mata dan pertempuran polis dengan demonstran.

Bersih 5.0 pada 19 November 2016 mulai menurun suhunya. Namun, kemuncak protes rakyat pada sedekad yang panjang itu - dimuktamadkan pada 9 Mei 2018.

Sekelip mata pada Pilihan Raya Umum ke-14, BN tumbang dan kerajaan Pakatan Harapan dibentuk dengan majoriti mudah 122 kerusi. Kini PH memiliki 134 kerusi di Parlimen.

Senario kebangkitan selama sedekad ini menyebabkan rakyat keletihan. Satu era yang panjang dan mencipta dihidrasi mental.

Tahun baru 2020 yang sepatutnya bersifat magis, kini boleh berubah menjadi angka sarkastik. Rakyat yang letih dengan realiti hidup, nampaknya akan bertemasya dengan “shopping online”.

2020 dianggap angka tahun tercantik alaf ini. Bagi pecinta nombor judi – ia ada “ong”.

Cuma, bagi rakyat yang keletihan, ambang 2020 akan diraikan secara skeptikal. Sikap eskapis jadi pilihan setelah sedekad dilelahkan perjuangan.

Tanggungjawab politik dianggap selesai dengan merealisasikan pembaharuan melalui PRU 14.

Generasi milenial akan menyambut Tahun Baru 1 Januari dalam konteks berbeza. Rebel tapi ceria. Mengejar elemen trendy dan pasti anti ritual konservatif.

Ratapan anak muda mencari rezeki

Seorang pemandu e-hailing meraikan tahun 2020 dengan harapan mencari kerja baharu. Sepanjang 2019, keadaan hidup harian dan bulanan semakin membebankan.

“Saya bekerja 12 jam sehari dan purata tujuh hari seminggu. Tahun ini, kos menyelenggara kereta mulai terasa membebankan setelah empat tahun kenderaan di atas jalan,” kata Raymond Liew.

Pemandu e-hailing ini berceloteh panjang dalam perjalanan dari Dataran Merdeka ke Kampung Bharu. Raymond bercerita mengenai kemelut pendapatannya yang mulai merosot.

“Saya mengeluarkan kos RM250 untuk Lesen Perhidmatan Kenderaan Awam (PSV) dan RM100 untuk biaya pengesahan kesihatan,” katanya.

Menurut Raymond, kos insuran pula meningkat RM500 setahun kerana premium perlindungan kenderaan berpenumpang.

Lebih teruk, semakin jauh Raymond memandu di atas jalan mencari wang, kos selenggara kereta turut meningkat.

“Dua minggu memandu, jarak perjalanan mencapai 7 ribu kilometer. Kenderaan perlu diservis dan kosnya RM200. Itu belum kos tukar tayar setiap tiga ke empat bulan,” katanya.

Setelah empat tahun menggunakan keretanya sebagai kenderaan e-hailing, banyak komponen utama perlu ditukar.

“Kalau saya terus memandu e-hailing tahun depan, pendapatan dihabiskan untuk servis alat ganti,” kata anak muda Petaling Jaya berusia 28 tahun.

Peniaga kecil gulung tikar

Kalsom Ahmad memulakan perniagaan kecil-kecilan mengeluarkan produk sabun berasaskan daun bidara.

Usahanya bermula sejak September 2018 dan modalnya kini kritikal untuk meneruskan perniagaan.

“Sukar mendapatkan pasaran kerana lambakan pelbagai produk sabun kini berlegar pada harga yang terlalu murah di internet,” katanya.

Peniaga senior berdepan krisis jualan dan mulai melancarkan harga lelong sebelum menutup perniagaan. Ia menjejaskan pasaran produk baru kerana jurang harga.

“Pelanggan membeli produk lelong kerana harga terlalu murah. Produk baru tidak mampu bersaing sekali pun dengan harga promosi,” kata Kalsom.

Akhirnya, kerana kos beroperasi di Kuala Lumpur sangat tinggi, Kalsom pulang ke Kuantan. Kos sewa premis lebih rendah di sekitar Balok dan gaji pekerja juga murah.

“Saya masih fokus pasaran online. Tapi rasanya, saya akan tutup perniagaan sekiranya dalam enam bulan ini gagal mendapat sambutan,” katanya.

Kalsom menolak idea pinjaman bank kerana telah melabur RM60 ribu wang simpanan sebagai modal permulaan.

“Kalau pinjam bank pun, saya tak fikir pasaran akan pulih dalam waktu terdekat. Ia hanya menambah kerugian ketika daya beli memang teruk,” katanya.

Kisah Raymond dan Kalsom antara pengalaman langsung ketika mendengar rintihan anak muda yang berdepan cabaran mencari rezeki.

Saya cuba membantu Kalsom dengan melihat konsep pempakejan, promosi, tahlige dan strategi posting di media sosial.

Namun, pemasaran bukan soal mudah ketika lambakan produk sabun melimpah dalam pasaran internet dan permintaan pula merosot.

Apa pun 1.1.2020 tetap akan datang. Anehnya, ketika Raymond dan Kalsom bertarung dengan kegetiran, puluhan ribu pembeli tempatan kini bersedia menyerbu jualan murah atas talian.

Lazada, Shopee dan Facebook Live akan berpesta wang.

Beli-belah atas talian bakal menjadi trend bagi yang rela menggaris kad kredit dalam meraikan 1.1.2020.

Manakala, bagi rakyat marhean yang letih dengan politik dan ekonomi, 2020 diraikan dengan doa dan harapan.

Moga Allah merahmati keamanan negara dan kestabilan politik. Seterusnya diluaskan rezeki bagi rakyat yang kesempitan.

Amin Ya Rabb Alamin. – 25 Disember, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen