Malaysia tiada masalah dengan dua pendakwah Islam, kata Zahid


Bede Hong

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua pendakwah terbabit tidak melakukan sebarang kesalahan ketika berada di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2017.

DUA pendakwah Islam yang dihalang memberikan ceramah agama di Singapura akan dibenarkan bekerja di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. 

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan mendapati tiada sebarang kesalahan yang dilakukan dalam ceramah sebelum ini oleh mufti besar Zimbabwe Ismail Menk dan pendakwah Islam Haslin Baharim, yang merupakan warga Malaysia.

“Ketika mereka di Malaysia, mereka tidak menyatakan apa-apa yang mencetuskan ketegangan kaum atau konflik di sini,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini. 

Semalam, Kementerian Dalam Negeri Singapura menolak permohonan Pas Kerja Pelbagai kedua-dua pendakwah itu bagi menyampaikan ceramah di Singapura.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pendakwah terbabit juga tidak dibenarkan untuk menghalang larangan itu dengan menyampaikan ceramah di kapal pelayaran yang beroperasi ke dan dari Singapura.

Katanya keputusan larangan itu dibuat selepas mengadakan rundingan dengan Majlis Agama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

“Ya, saya ada baca laporan mengenainya. Bahawa Majlis Agama Islam Singapura menasihatkan Kementerian Dalam Negeri Singapura untuk mengambil tindakan,” kata Zahid. 

“Itu hak negara berkenaan (untuk membuat larangan) kerana mereka mempunyai undang-undang mereka sendiri. Bagaimanapun, ceramah itu disalahertikan. Setakat ini mereka tidak pernah mencetuskan konflik perkauman atau apa-apa ketegangan dalam kalangan kumpulan agama.”

“Malaysia berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan di negara ini dan kita tidak akan mengarahkan (mana-mana agensi) untuk mengambil tindakan yang sama (seperti Singapura) kerana mereka tidak melakukan kesalahan di negara ini.”

Kementerian dalam negeri Singapura mendakwa Ismail mengajar ajaran yang memecahbelahkan. 

“Sebagai contoh, beliau berceramah bahawa adalah menjadi dosa besar dan jenayah bagi seorang Muslim untuk mengucapkan kepada bukan Islam Selamat Hari Krismas dan Selamat Deepavali, yang secara ringkas orang Islam tidak dibenarkan mengucapkan perasaan gembira semasa perayaan agama orang bukan Islam,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

“Pandangan memecah belah seperti itu menyemai amalan tidak bertolenrasi dan eksklusif yang boleh merosakkan keharmonian dan menyebabkan masyarakat berpecah,” kata kementerian tersebut.

“Mereka tidak boleh diterima dalam konteks masyarakat Singapura yang berbilang bangsa dan agama.”

Kedua-dua pendakwah berkenaan terlibat menyampaikan ceramah dalam sebuah pelayaran bertemakan agama yang berlepas dan berakhir di Singapura bermula 25 hingga 29 November, 2017.  – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen