Shafie enggan ulas siasatan SPRM


Yasmin Ramlan

PRESIDEN Parti Warisan Sabah Shafie Apdal enggan mengulas mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadapnya, sambil berkata ia perlu dilakukan dengan adil.

“Mereka hanya menjalankan tugas. Saya tidak ada komplen apa-apa. Namun ia mesti dilakukan secara adil, jangan buat andaian awal,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu membuat penampilan pertamanya hari ini di Parlimen sejak beliau direman lapan hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan bagi tujuan pembangunan projek rakyat di Sabah.

Walaupun begitu, beliau mempersoalkan mengapa masa dua tahun diambil untuk memulakan siasatan penyelewengan itu dan adakah ia penyiasatan terpilih bermotifkan politik.

“Saya rasa bukan hari ini. Saya harap anda faham. Saya tidak boleh cakap perkara yang masih dalam siasatan walaupun mereka kata perkara ini berlaku dua tahun lepas, (tetapi) mengambil masa yang lama untuk disiasat,” katanya.

Sebelum ini, wakil media Warisan, Amarjit Singh ditahan selepas agensi anti rasuah itu menahan dua pemimpin tertinggi Warisan iaitu Naib Presiden Peter Anthony dan Ketua Pemuda Aziz Jamman untuk membantu siasatan kes tersebut.

Mengulas lanjut mengenai tindakan SPRM itu terhadap pemimpin Warisan, Shafie turut mengakui bahawa ia berunsurkan politik.

“Ya, ia ada berunsurkan politik,” katanya.

Shafie turut mengalami tekanan darah tinggi selepas ditahan dan kemudiannya ditempatkan di Hospital Queen Elizabeth II untuk pemantauan. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen