Darah tinggi Shafie Apdal naik malam tadi


Jason Santos

Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal berada di rumahnya di Taman Golf View Penampang sebelum ke pejabat SPRM semalam untuk memberikan keterangan skandal penyelewengan RM1.5 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2017.

SHAFIE Apdal yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu malam tadi, mengalami tekanan darah tinggi yang dikhuatiri doktor boleh menyebabkan serangan jantung, kata ahli keluarga dan pemimpin partinya.

Presiden Parti Warisan itu kemudiannya ditempatkan di Hospital Queen Elizabeth II untuk pemantauan, tambah mereka.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata Shafie pada awalnya hendak dipindahkan ke lokap polis Kepayan malam tadi sebelum peguam Loretto Padua Jr mendesak agar dia dihantar ke hospital.

“Ada sedikit pertengkaran antara Loretto dan pegawai SPRM. Loretto mahu Shafie dibawa ke (hospital pakar) KPJ tetapi SPRM bertegas Shafie ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH).

“Mereka kemudiannya bersetuju Shafie dibawa ke QEH,” kata Leiking.

Setelah diperiksa di QEH, doktor mendapati tekanan darah Shafie berada pada paras 196/102 iaitu sangat tinggi.

“Keluarga minta Shafie ditempatkan di Queen tetapi SPRM bertegas Shafie ke Kepayan. Sekali lagi pertengkaran berlaku,” kata sumber keluarga.

Leiking memaklumkan Shafie sudah memberitahu mereka, sebelum dia ke ibu pejabat SPRM lagi, tekanan darahnya naik kerana kesal dua adiknya, Yusof dan Hamid ditahan oleh agensi anti rasuah itu.

Hamid semalam dibebaskan daripada tahanan reman, sementara Yusof direman empat hari sehingga esok.

Shafie ke ibu pejabat SPRM petang semalam untuk diambil keterangannya. Dia ditahan jam 9 malam, lebih kurang empat jam selepas memasuki pejabat itu.

Shafie dijangka dibawa ke mahkamah untuk permohonan perintah tahanan reman 2.30 petang ini.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking mengecam SPRM kerana terlalu berahsia dan sukar diramal.

“Jadi kami diberitahu reman mungkin pada jam 2.30 petang hari ini. Tetapi kami tetap bersedia keana tidak mahu kejadian sama berulang seperti ketika mereka menahan ketua Pemuda kami (Azis Jamman) yang tiba-tiba mereka tukar waktu mahkamah dari 2.30 petang ke 11.30 pagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penyokong Shafie dijangka berkumpul di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk menyokong presiden Warisan yang menyambut ulang tahun ke-60 hari ini.

Malam tadi, hampir 100 penyokong Shafie turut berada di pejabat SPRM Sabah. – 20 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen