Zakir dimaklumkan jangan main sentimen perkauman, kata PM


Perdana Menteri ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

PUTRAJAYA telah memaklumkan kepada pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik untuk tidak mencetuskan sentimen perkauman di negara ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Zakir Naik telah diberitahu untuk tidak cetuskan sentimen perkauman. Dia ada di sini, tetapi kami juga ada banyak kenyataan perkauman yang dibuat oleh ramai orang lain.

“Kita perlu minta orang ramai untuk tidak memberi komen mengenai hubungan kaum di Malaysia kerana ia adalah isu sensitif dan kita tidak mahu mencetuskan isu dan menghina rakyat dan kaum di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas tamatnya Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 hari ini.

Zakir, yang menghadiri sidang kemuncak itu, turut hadir pada sidang media. 

Ogos lalu, Zakir dipanggil polis kerana didakwa membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat India dan Cina pada satu program yang diadakan di Kelantan.

Zakir disiasat dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwah itu juga dikehendaki India kerana didakwa terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram dan mencetuskan keganasan.

Pentadbiran Pakatan Harapan dikecam hebat kerana enggan membatalkan status penduduk tetap (PR) Zakir selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut dalam ceramahnya beberapa bulan dahulu. – 21 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen