Bajet 2018 kitar semula insentif Felda, kata peneroka


Diyana Ibrahim

Peneroka berkata tiada yang baru pun tentang insentif khas RM5,000 yang disebut dalam pembentangan Bajet 2018 kerana ia sudah diumumkan Julai lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2017.

BAGI Nasir Isa, seorang peneroka Felda dari Kota Tinggi, insentif khas yang diumumkan dalam Bajet 2018 pada Jumaat lepas tidak memberi sebarang manfaat kepadanya kerana ia mengulang peruntukan lama yang sudah diumumkan sebelum ini.

Katanya, tak ada yang baru pun tentang insentif khas RM5,000 yang disebut dalam pembentangan belanjawan itu kerana Perdana Menteri Najib Razak sudah mengumumkannya pada Julai lepas.

“Duit itu kami sudah dapat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Dana tanam semula kelapa sawit pun kami sudah dapat. Duit kami sudah dipotong bulanan RM119 untuk tanam semula. Jadi apa yang barunya dengan pengumuman Bajet 2018 ini.

“Bagi saya sama saja, tidak ada kepentingan untuk kita pun, sebab itu saya kata bajet kitar semula,” tambahnya.

Itulah sentimen sesetengah kumpulan peneroka tentang belanjawan yang dibentangkan oleh Najib, yang mereka sifatkan tidak memadai untuk menyelesaikan masalah yang sudah berakar umbi dalam hidup mereka.

Bajet kitar semula ini, kata Nasir termasuk juga pengumuman pembinaan 5,000 unit rumah kerana ia pernah diumumkan pada 2012. Projek itu sekarang terbengkalai.

Penasihat Suara Generasi Kedua Zulkifli Nordin berkata generasi kedua Felda pula tidak menolak insentif kerajaan, namun mereka juga percaya ia tidak menyelesaikan masalah peneroka secara keseluruhan.

“Isu di Felda ini sebenarnya sangat rumit tapi setidak-tidaknya apa yang diumumkan dalam Bajet tersebut boleh mengendurkan perasaan kegelisahan peneroka berdepan dengan masalah mereka. Bagi kami ia memadai buat masa sekarang,” katanya.

Masalah utama mereka ialah hutang dan sistem pengurusan ladang yang kurang cekap.

“Walau begitu tidak bermakna kita tidak berterima kasih dengan segala insentif yang diberikan ini kerana ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membantu peneroka.

“Tetapi apa yang kami lihat ia tidak menyelesaikan semua masalah peneroka,” katanya, merujuk kepada sistem penyata hutang yang meragukan dan pengurusan ladang tidak cekap yang sudah bermasalah sejak 10 tahun lalu.

Kerajaan sepatutnya lebih memperincikan fokus kepada penyelesaian isu penyelenggaraan ladang yang amat mengecewakan dan kini menjadi masalah utama Felda dan Felda Tecnology Plant (FTP), katanya.

“Kita menyaksikan kekangan tenaga buruh ladang dan ketidakmampuan kontraktor melaksanakan kerja pemantauan dan pengurusan ladang yang sistematik dan efisien.”

The Malaysian Insight sebelum ini pernah melaporkan masalah yang berbangkit sejak skim perladangan ini terikat dengan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Pada 2012, pentadbiran Najib membenarkan FGV mengambil alih 335,000 hektar ladang Felda.

FGV bagaimanapun dikritik hebat kerana prestasi buruknya sejak disenaraikan di pasaran saham Malaysia pada Jun 2012.

Pada 2015, FGV membatalkan rancangan membeli 37% kepentingan dalam syarikat minyak sawit PT Eagle High Plantations pada nilai pasaran lebih tinggi berikutan bantahan daripada pemegang saham.

Pada masa itu, harga saham RM4.55 ketika pertama kali tersenarai menjunam kepada RM1.66 pada hari ini.

Kontroversi terbaru FGV melibatkan perebutan kepimpinan antara Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Zakaria Arshad dengan Pengerusi serta bekas bos Umno Mohd Isa Abdul Samad.

Kedua-duanya saling menuduh berlaku salah urus berkaitan kewangan dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat.

Insentif bajet tidak akan pengaruhi generasi muda Felda

Sementara itu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata sukar untuk menjangkakan apakah insentif itu akan bertukar jadi undi untuk Barisan Nasional (BN).

Namun yang pasti, katanya insentif tersebut tidak akan menjejaskan pendirian generasi kedua dan ketiga Felda untuk menolak BN.

“Sukar untuk mengukur sokongan generasi pertama. Tapi generasi baru Felda yang ada akses kepada maklumat, konsisten hendak buat perubahan.

“Mereka ini menolak kerana generasi baru tak terkesan dengan bajet kali ini,” kata Mazlan.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman berkata sukar untuk menjangkakan apakah insentif itu akan bertukar jadi undi untuk Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2017.

Anak meminta kerajaan menjelaskan pengumuman pembinaan 5,000 unit rumah Generasi Baru Felda dengan kos RM164 juta itu apakah projek baru atau termasuk yang terbengkalai.

Sejumlah 300 unit rumah sepatutnya dibina di tanah rancangan Felda di Besut, Terengganu; Chini Timur 2, Pahang; dan Tenggaroh, Johor.

Mazlan berkata Anak ingin tahu apakah kesudahan Projek Sentuhan Kasih Felda di tiga lokasi tersebut yang sepatutnya siap pada penghujung 2012.

“Setakat ini daripada tinjauan Anak, hanya di Felda Tenggaroh 3 saja, 100 rumah berjaya disiapkan. Namun pakej pembangunannya dianggap gagal.

“Hingga kini peserta projek tidak tahu berapa hutang sebenar atas pinjaman rumah,” katanya.

Selain itu, Mazlan berkata kebimbangan Anak ialah mengenai pengumuman pemulangan wang Kumpulan Wang Perusahaan Getah (SES) yang kemungkinan akan dipotong dan tidak membantu peneroka mengurangkan beban mereka.

Beliau berkata janji tersebut sebenarnya pernah dibuat perdana menteri kepada 7,800 peneroka getah ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) Kerdau, 2011.

“Realitinya para peneroka getah ini sudah terlalu letih berulang alik ke pejabat Risda menuntut hak mereka.

“Jika pun mereka dapat adakah Risda membayarnya terus kepada peneroka atau melalui Felda yang penuh kerenah birokrasi.”

Mazlan juga membangkitkan satu lagi isu iaitu Technoplant yang menimbulkan kemarahan kepada peneroka terutama mengenai pengurusan ladang dan timbunan hutang.

“Mengapa tidak diperkasa peranan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan koperasi di setiap rancangan Felda yang berkepentingan langsung dengan pengurusan kebun peneroka.

“Bukankah ia baik untuk sosioekonomi anak peneroka daripada membiarkan Technoplant atau pihak kapitalis mengambil kesempatan atas keringat peneroka,” katanya.

Najib pada Jumaat lalu mengumumkan insentif untuk 112,000 peeneroka Felda. Antaranya insentif khas RM5,000 kepada 8,925 peneroka dengan peruntukan RM43 juta, dan dana RM60 juta untuk program tanam semula sawit bagi sektor pekebun kecil hasil dari SES serta pembelian tanaman semula kelapa sawit wang SES dari 2010 hingga 2016.

Perdana menteri juga mengumumkan pembinaan 5,000 unit rumah generasi Felda kedua dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membabitkan peruntukan RM164 juta.

Selain itu, RM200 juta diperuntukkan kepada semua tanah rancangan Felda untuk sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan. – 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen