Ibu bapa risau, keliru dasar kerusi keselamatan kanak-kanak


Sheridan Mahavera

ANNUAR Effendy sudah ada tiga kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) tetapi masih bimbang apabila pemasangan kerusi itu dalam kenderaan dikuatkuasakan ke atas setiap keluarga tahun depan.

Ada dua perkara yang merisaukan Annuar - pertama, beliau tidak pasti CRS yang dibeli menepati spesifikasi ditetapkan kerajaan.

Kedua, kerusi keselamatan ini tidak digunakan sepanjang masa kerana tidak cukup ruang hendak diletakkan dalam keretanya.

Masalah yang dihadapi Annuar ini turut dilontarkan oleh beberapa ibu bapa yang ditemu bual oleh The Malaysian Insight yang bimbang, keliru dan mengkritik dasar kerajaan yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari.

Mulai tahun depan, Putrajaya mewajibkan penggunaan CRS bagi kanak-kanak dengan ketinggian bawah 135cm (atau saiz tubuh kanak-kanak 12 tahun) dalam kenderaan.

Ini untuk menyelamatkan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Bagaimanapun, tiada saman dikeluarkan kepada ibu bapa yang tidak menggunakan CRS dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya.

Peraturan ini dilaksanakan selepas statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati seramai 1,559 kanak-kanak berumur bawah 10 tahun maut dalam kemalangan antara 2007 hingga 2017. 

Mengikut undang-undang, Annuar perlu memasang ketiga-tiga CRS untuk anaknya tetapi ia pasti tidak muat untuk dipasang sekali gus dalam kereta.

“Buat masa ini, kalau ke mana-mana lima anak saya duduk di bahagian belakang, manakala isteri saya pangku anak kami yang berusia setahun,” kata pengurus tapak pembinaan itu kepada The Malaysian Insight.

“Kalau saya letak semua tiga kerusi (CRS) di belakang, saya tak fikir boleh muat. Jadi, anak-anak saya nak duduk di mana? Kalau mereka duduk dalam kerusi itu, kemudian pangku pula adik yang lebih kecil, sudah langgar undang-undang pula.”

Penyelia pasar raya, Azman Muhammad yang ditemui bual juga menyuarakan masalah sama kerana mengikut undang-undang, beliau perlu membeli lagi CRS memandangkan empat anaknya berumur bawah 12 tahun.

“Saya dah ada dua, tapi kalau beli lagi dua tak muat nak letak semua dalam kereta, sebab kerusi bahagian belakang cuma boleh muat tiga kerusi keselamatan kanak-kanak,” kata Azman, 42, dari Serdang.

“Jadi, anak saya yang keempat nak duduk di mana? Kemudian, dua kerusi yang saya dah beli sebelum ini, boleh digunakan juga?

“Sebab kalau ikut undang-undang, tak tepati piawaian. Jadi, macam mana?” katanya lagi.

The Malaysian Insight menemubual sembilan ibu bapa untuk mengetahui penerimaan orang ramai terhadap peraturan baharu ini serta bagaimana persediaan mereka, dan lebih separuh daripada mereka berpendapat ianya tidak relevan diamalkan di Malaysia. Mereka berkata majoriti keluarga besar di negara ini mempunyai kenderaan yang bersaiz kecil.

“Di negara Barat, mereka boleh lah buat peraturan. Tetapi mereka hanya ada dua anak,” kata Sheila, yang menjual barangan bayi termasuk kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Polisi ini bagus sebab kerajaan utamakan keselamatan kanak-kanak. Tetapi saya rasa kerajaan terburu-buru, tak kaji betul-betul bagaimana nak laksanakannya.”

Ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab

Terdapat empat kategori bagi kerusi keselamatan kanak-kanak - Kumpulan 0 bagi bayi baru lahir hingga 18 bulan, Kumpulan 1 (15 bulan hingga empat tahun), Kumpulan 2 (empat hingga tujuh tahun) dan Kumpulan 3 (enam tahun dan ke atas).

Garis panduan yang dikeluarkan oleh Miros menyatakan setiap kategori CRS mesti mempunyai piawaian keselamatan ECE R44/04 atau ECE R129.

CRS dengan piawaian keselamatan ini mempunyai pelekat berwarna oren berserta kod pada rangka kerusi. – 19 Disember, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen