Menangani masalah integriti sektor awam, swasta


Sharon Tan

Dr Mark Lovatt berkata Perikatan Integriti Perniagaan (BIA) menjadi penghubung antara kerajaan dan perniagaan dalam menangani masalah integriti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 Oktober, 2017.

CERITA-cerita beranekdot ada banyak, daripada cubaan rasuah hinggalah ugutan membatalkan lesen atau menarik balik kelulusan. Syarikat-syarikat swasta yang terperangkap dalam situasi seperti itu tidak tahu apa perlu dibuat atau kepada siapa perlu diadukan.

Ini adalah “masalah integriti” yang mahu ditangani oleh Perikatan Integriti Perniagaan (BIA) dengan menjadi penghubung antara kerajaan dan perniagaan.

Dr Mark Lovatt yang merupakan setiausaha agungnya berkata, BIA telah menubuhkan saluran rahsia bagi syarikat-syarikat menyalurkan maklumat yang akan diberi kepada pegawai kerajaan di Pejabat Perdana Menteri.

“Kami ada hubungan baik dengan kerajaan dan bekerja dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low, yang mempunyai Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU),” kata Lovatt dalam temubual bersama The Malaysian Insight.

“BITU berperanan sebagai penghubung antara BIA dan jabatan kerajaan atau agenci berkaitan supaya BIA boleh sampaikan kebimbangan sektor swasta.

“BIA akan merahsiakan entiti sektor swasta. Matlamatnya ialah untuk menyampaikan kepada pegawai tertinggi jabatan kerajaan bahawa wujud masalah integriti supaya mereka boleh mengambil tindakan.

“Pegawai-pegawai ini merupakan yang disediakan dan diberi taklimat mengenai perkara ini daripada peringkat atasan. Mereka kemudiannya boleh mengambil maklumat dan perbetulkan masalah itu,” kata Lovatt.

Awal bulan ini, BIA dan Jabatan Perdana Menteri menandatangani satu memorandum persefahaman berkenaan inisiatif ini, lantas bekerjasama melawan rasuah dalam urusan sektor swasta-awam.

Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 tetapi ketetapan keperluannya supaya seseorang pemberi maklumat diberi perlindungan mendapat kritikan.

Lovatt menyedari untuk mendapatkan kepercayaan dari sektor swasta dan awam adalah satu tugas yang besar. Apabila BIA dilancarkan akhir tahun lepas selepas berpisah dari Transparency International Malaysia (TI-M), di mana BIA bermula sebagai satu unit, ramai yang berasa ragu.

BIA kini disokong oleh beberapa syarikat seperti Top Glove, Digi dan Infineon. Ia dibiayai oleh sektor swasta, khususnya syarikat-syarikat yang membayar yuran langganan untuk menjadi rakan dalam usahanya meningkatkan integriti perniagaan di Malaysia.

BIA berdaftar dengan United Nations Global Compact, sebuah inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mempromosikan perniagaan yang bertanggungjawab secara sosial dan mampan.

Mengumpulkan maklumat

Lovatt berkata BIA berhasrat untuk melihat penglibatan sektor swasta dan awam bersama-sama mendedahkan masalah dan mengenal pasti di mana dan bagaimana ia berlaku.

“Kami akan mengambil maklumat umum, seperti bahagian tertentu yang terkenal dengan perkara tertentu dan bagaimana kelakuan pegawai di sana kepada ketua jabatan yang akan tahu secara tepat di mana siasatan serta pemeriksaan harus ditumpukan.

“Kami bermula dengan pengguna akhir dan mengesan sumbernya daripada bermula dari situ (sumber).”

Atas faktor risiko, syarikat yang menyalurkan maklumat kepada BIA akan dirahsiakan identiti mereka.

“Apabila kami mengambil maklumat, kami pastikan ianya dilakukan sedemikian rupa supaya sumbernya dirahsiakan,” kata Lovatt.

BIA mendapat kepercayaan Suruhanjaya Pencegahahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sedang membangunkan peranan SPRM di bawah inisiatifnya.

“SPRM sebenarnya telah cuba menjangkaui sektor swasta untuk beberapa ketika tetapi kurang berhasil,” katanya.

Dilemanya ialah sama ada BIA perlu menyalurkan maklumat yang diterima dari sektor swasta terus kepada SPRM.

“Apa yang kami pelajari setakat ini, ia lebih baik dimulai di jabatan kerajaan dahulu dan biarkan mereka bekerjasama dengan SPRM mengikut syarat mereka,” kata Lovatt.

Sama ada jabatan-jabatan kerajaan akan bertindak mengikut maklumat BIA akan memerlukan strategi, keyakinan dan maklumat tepat, katanya.

BIA harus membangunkan risikan berkualiti tinggi supaya jabatan-jabatan kerajaan dapat mensasarkan bahagian yang bermasalah.

Selepas menandatangani perjanjian dengan Jabatan Perdana Menteri, Lovatt berkata BIA kini sedang menunggu pertemuan dengan jabatan-jabatan kerajaan. Ia masih belum menerima sebarang maklumat dari sektor swasta.

Sekiranya inisatif ini dilancarkan, BIA akan meninjau syarikat-syarikat yang tampil selepas 3 bulan untuk melihat jika masalah integriti yang mereka hadapi sudah selesai. – 29 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen