Orang Semai wira tak didendang hanya mahu dihormati


Sharon Tan

Orang Semai adalah kumpulan Orang Asal terbesar di Semenanjung yang mengenali dan mengetahui selok belok hutan negara ini. Mereka seringkali dipanggil membantu operasi mencari dan menyelamat dan hanya mahu pengetahuan dan kemahiran mereka dihormati dan diiktiraf. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 Oktober, 2017.

APABILA datang berita lewat tengah malam yang bantuan mereka diperlukan untuk mengesan seorang lelaki Korea yang tersesat dalam hutan di Pahang, Atan A/L Pulas terus menyertai bapa saudaranya untuk menyertai misi mencari dan menyelamat tersebut walaupun tiada pengalaman.

Tetapi Atan, lelaki suku kaum Semai dari Kampung Tual, Pos Sendrut, Raub mempunyai sesuatu yang lebih hebat berbanding rekod mencari orang hilang- dia tahu dan kenal setiap inci hutan itu.

Atan, 32, adalah salah seorang daripada 31 orang kaum Semai dari Kampung Tual dan Dusun Pak Seman, Kuala Koyan yang pergi ke Berjaya Hills Resort di Bentong, tempat seorang lelaki warga Korea, Kim Chae Won,71, hilang selama empat hari pada hujung September lalu.

Semai adalah kumpulan Orang Asal terbesar di Semenanjung, dan sudah menjadikan hutan paling ceruk Pahang kawasan kediaman mereka bergenerasi lamanya.

Mengimbau pengalaman itu, Atan berkata pasukannya memutuskan untuk tidak mematuhi arahan polis tentang kawasan hutan yang perlu diteroka untuk mencari lelaki itu.

“Polis meniup wisel mereka sebelum pasukan lain bergerak terlalu dalam ke hutan. Kami tak hirau dan hanya bergerak. Saya tak tahu berapa kilometer tetapi jauh ke dalam hutan. Kami hanya berjalan merentasi hutan dan mula memekik,” katanya.

Tidak berapa lama mereka memasuki hutan, ahli pasukan mereka menemui Kim yang sudah lemah selepas berada dalam hutan selama empat hari.

Raman A/L Yok Di, 25, juga dari Kampung Tual mengatakan mereka dengan segera membuat pengusung menggunakan kayu dan rotan untuk membawa Kim.

“Dia muntah air yang kami suapkan. Sebilangan kami mula buat pengusung guna kayu dan rotan yang kami temui. Beberapa orang lagi ‘derma’ t-shirt kami supaya dia selesa berbaring atas pengusung,” kata Raman menambah yang ada antara mereka hanya berkaki ayam dalam hutan dan cedera ditusuk duri dan ranting pokok.

Atan A/L Pulas salah seorang daripada 31 lelaki Orang Semai yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat seorang lelaki Korea di Bentong, Pahang. Baginya, hutan adalah tempat yang dikenali orang Semai dan dia hanya mahukan kemahiran mereka itu dihormati dan diiktiraf. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 Oktober, 2017.

Mereka terpaksa berhenti beberapa kali sebelum sampai ke pusat operasi kerana cerun bukit terlalu curam. Atan mengatakan ada juga antara mereka terpaksa berpatah balik untuk menunjukkan kepada polis tempat Kim ditemui.

Selepas Kim ditemukan kembali dengan keluarganya, kumpulan 31 orang itu pulang ke rumah, penat dan kelaparan tetapi berpuas hati dengan kejayaan misi itu.

Bagaimanapun, mereka kecewa apabila mendapati usaha mereka tidak dihargai pihak berkuasa, malah kecewa itu bertambah apabila mereka juga tidak dihormati.

“Apabila kami sampai di sana (pusat operasi) ketika tengahari, kami sangat lapar kerana kami bergerak dari rumah pada jam 7 pagi tanpa sarapan.

“Tetapi kami diberitahu yang kami perlu tunggu polis dan bomba makan dahulu sebelum kami boleh makan,” kata Atan.

Raman juga mengatakan pegawai pasukan keselamatan menjanjikan habuan kewangan tetapi sehingga kini masih belum ditunaikan. Sehinggakan mereka terpaksa menggunakan duit sendiri untuk menampung duit minyak perjalanan mereka.

Tok Batin Kampung Tual, Harun A/L Siden mengatakan walaupun mereka gembira kerana mampu menyelamatkan orang yang hilang dan tidak mengharapkan apa-apa balasan, komuniti itu hanya mahu pihak berkuasa mengiktiraf dan menghormati pengetahuan hutan suku kaum Semai.

“Saya diberitahu yang pihak berkuasa di Berjaya Hills tak pandang kemahiran kami,” kata Harun.

“Tetapi orang kami berjaya jumpa lelaki Korea itu dalam masa yang singkat.”

Katanya, pihak berkuasa sepatutnya belajar daripada orang Semai kerana mereka lebih mengetahui selok belok hutan serta tumbuhan dan binatang dalam hutan.

“Kehidupan kami dalam hutan, tempat kami cari makan dan semua benda. Kami tahu lebih banyak daripada pihak berkuasa,” katanya.

“Kami tak guna GPS kerana kami kenal bukit dan sungai. Kami kenal hutan.” – 29 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen