Artis Youtube, ke mana arahnya?


Meor Yusof Aziddin

Yuna antara penyanyi yang bermula daripada media sosial dan pencapainnya mengagumkan. Tetapi bagaimana pula dengan artis-artis lain yang bakatnya hanya suam-suam kuku dan banyak bergantung kepada luaran semata-mata? – Gambar Instagram, 29 Oktober, 2017.

PADA zaman ini, siapa saja boleh jadi artis, penyanyi atau menjadi popular. Caranya? Cubalah nasib anda di Youtube, tak perlu modal dan siapa saja boleh mencuba nasib di situ.

Youtube yang didirikan oleh Chad Hurley, Steve Chen dan Jawed Karim pada tahun 2005 memang berguna bagi mereka yang mahu mempromosikan bakat menyanyi atau apa saja asalkan apa yang kita tontonkan itu menjadi “viral” dan mendapat sambutan hebat dari penonton.

Sebelum Youtube kita ada Myspace, yang fungsinya lebih kurang sama seperti Facebook mahupun Youtube. Asasnya kita hanya perlu berhubung di talian internet dan kalau nasib kita baik, satu dunia akan kenal kita.

Penyanyi yang berjaya menembus pasaran dunia yang berasal dari Malaysia seperti Yuna dan Zee Avi bermula dari Myspace dan Youtube. Tidak dinafikan pencapaian mereka sebagai penyanyi memang mengagumkan.

Mudah bukan? Tak perlu terhegeh-hegeh menjaja kaset demo ke syarikat rakaman atau menghadiri sesi uji bakat suara untuk menjadi penyanyi  dan artis rakaman, hanya perlu mempromosi bakat kita di Youtube.

Selain Yuna dan Zee Avi, siapa lagi yang berjaya seperti mereka? Najwa Latif? Ana Raffali? Aiman Tino?

Sekarang ini musim Aiman Tino, ramai anak muda dan remaja yang meminati penyanyi remaja ini walau suara dan bakatnya tidak seberapa.

Di negara kita ini, sejarah membuktikan seorang itu tidak perlu berbakat sangat, cukup sekadar boleh menyanyi sebab yang diutamakan adalah kenaifan yang ada dalam diri mereka.

Ini bukan zaman Sudirman atau Jamal Abdillah yang bakat mereka dicungkil dari pertandingan Bintang RTM dan diadili oleh para juri professional.

Ini zaman yang jadi jurinya adalah peminat yang tidak ada pengetahuan dalam ilmu muzik dan lagu. Yang mereka pentingkan adalah kulit; isinya mereka kurang indahkan.

Kita lihat Mawi, menjadi sangat popular seusai menang program realiti Akademi Fantasia walau suara dan bakatnya dipertikaikan. Hasilnya dia mampu bertahan dan sempat buat duit selama beberapa tahun.

Sebab apa Mawi disukai ramai? Sebabnya anak muda ini ikon untuk masyarakat luar bandar khususnya. Orang kita sebenarnya tidak kisahpun dengan bakat menyanyi yang hebat seperti Jamal mahupun Sharifah Aini.

Mawi, imej anak kampung yang sentiasa berkopiah mewakili imej anak muda yang islamik dan beriman, juga sifat rendah dirinya, ini yang disukai anak-anak muda sebenarnya.

Orang kita sebenarnya bukan suka sangat dengan artis yang berambut merah dan mengada-ngada. Orang kita suka artis yang ala-ala marhaen gitu, yang memperagakan gaya marhaen untuk mendapat perhatian, seperti yang penyanyi Hazama lakukan dengan menyamar seperti orang gila yang pandai menyanyi. Dan gimiknya menjadi.

Persoalannya, mampukah artis-artis yang lahir dari Youtube ini bertahan lama seperti penyanyi-penyanyi yang memang berbakat dan berkarisma seperti Jamal Abdillah, Saleem, M.Nasir, Ramli Sarip antaranya.

Suatu masa dulu Najwa Latif sangat diminati dan popular di kalangan pendengar dengan lagu-lagu dan liriknya yang naif itu. Sehingga ada yang menganggapnya sebagai pelapis Yuna. Begitu juga dengan Ana Rafalli.

Di mana mereka hari ini?

Kita tengok nanti sampai bila penyanyi Aiman Tino mampu bertahan sebagai penyanyi yang diminati ramai.

Penyanyi PSY Gangnam Style suatu ketika menjadi kegilaan dunia dengan lagu Gangnam Stylenya di Youtube yang ditonton sehingga 2.9 billion kali di seluruh dunia. Adakah lagunya yang selepas itu kekal mendapat perhatian dunia?

Bagi saya, bakat yang lahir di Youtube ini bukanlah “genuine”, ia hanya faktor semasa, kecuali jika mereka kekal konsisten umpama lilin yang tidak akan padam, masih menyala sehingga beberapa musim yang berikutnya.

Selainnya, artis Youtube ini akan datang dan pergi begitu saja. – 29 Oktober, 2017.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen