Ambil tindakan terhadap pengkhianat parti, kata perwakilan Johor  


Chan Kok Leong Lee Chi Leong Mohd Farhan Darwis

Perwakilan PKR Johor, Mohd Shahrun Radzi Salehudin ketika hadir pada Kongres PKR ke-14 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2019.

TINDAKAN perlu diambil terhadap pemimpin yang mengadakan rundingan dengan pembangkang tanpa pengetahuan parti, kata perwakilan PKR Johor.

“Lembaga disiplin parti perlu ambil tindakan terhadap pemimpin yang mengadakan rundingan dengan parti pembangkang tanpa kebenaran parti,” kata Mohd Shahrun Radzi Salehudin di Kongres PKR ke-14 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka hari ini.

Beliau tidak menamakan sesiapa namun hanya Mohamed Azmin Ali yang merupakan pemimpin kanan parti mengadakan mesyuarat dengan pembangkang beberapa minggu lalu.

Azmin yang merupakan timbalan presiden PKR mengadakan mesyuarat dengan beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional di kediamannya pada 19 November lalu.

Ahli Parlimen BN terbabit mengatakan mereka berjumpa Azmin untuk membincangkan dana yang diperlukan di kawasan mereka.

Azmin bagaimanapun tidak menjelaskan kepada mereka mengapa pertemuan itu diadakan di kediamannya di Putrajaya.

Malah Azmin turut dikritik oleh pemimpin Pakatan Harapan kerana mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen BN.

Mohd Shahrun turut menggesa parti itu dibersihkan daripada pengkhianat.

“Terdapat pengkhianat dalam parti. Kita tidak mahu parti kita musnah kerana pengkhianatan.

“Tiada rasa hormat terhadap presiden. Saya sertai parti pada 2008 tetapi tidak pernah melihat apa yang berlaku hari ini,” kata perwakilan Johor itu.

Kongres Pemuda PKR semalam dicemari insiden keganasan yang mana sekumpulan remaja cuba merempuh masuk ke dewan persidangan.

Mohd Shahrun turut membidas Azmin apabila mempersoalkan etika dan disiplon pemimpin itu kerana tidak hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PKR (MPP).

“Kita perlu singkirkan pemimpin yang tidak hadir pada mesyuarat tetapi menyerang parti melalui media. Moral jenis apa yang mereka ada?”

Azmin dilaporkan gagal hadir pada 20 mesyuarat MPP dan biro politik PKR sejak pemilihan parti itu tahun lalu. – 7 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen