Anwar akui terlalu berlembut


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata sikapnya yang terlalu berlembut memberi peluang kepada sesetengah pihak untuk ambil kesempatan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim mengakui beliau sepatutnya bersikap lebih tegas dengan memecat pelaku yang mencetus perpecahan dalam parti untuk mengelak masalah itu berlarutan.

“Tetapi saya terlalu berlembut. Dan ini memberi peluang kepada sesetengah pihak untuk ambil kesempatan.

“Saya sepatutnya pecat kedua-dua pelaku. Saya sepatutnya kata ‘cukup’,” kata Anwar kepada pemberita selepas ucapan dasar pada pembukaan Kongres PKR di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan siapa yang dimaksudkan.

Kongres utama PKR berlangsung hari ini susulan kongres sayap Pemuda dan Wanita yang berlangsung semalam.

Bagaimanapun, Kongres Pemuda PKR dicemari dengan dua insiden pergaduhan antara dua kumpulan, menyebabkan penahanan dua remaja yang didakwa mencetuskan kekacauan. Namun tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua mereka adalah ahli PKR atau diupah untuk mensabotaj.

Juga, hampir sepanjang tahun ini dan menjelang kongres, Anwar turut berselisih faham dengan timbalannya Mohamed Azmin Ali.

Seminggu sebelum kongres, Azmin dan penyokongnya menandatangani memorandum untuk menggesa Anwar memohon maaf kerana memecat dua ahli dari Pahang Zakaia Abdul Hamid dan Ismail Dulhadi kerana didakwa terlibat dengan rasuah.

Pemuda PKR yang diketuai penyokong Anwar, Akmal Nasir, juga memutuskan untuk tidak menjemput Azmin merasmikan kongresnya.

Ini selepas timbul spekulasi penyokong Azmin mahu memboikot kongres dan mengadakan perhimpunan berasingan.

Pada Rabu, sebelum kongres bermula hari berikutnya, Anwar dan Azmin membuat perjanjian bahawa Azmin akan merasmikan kongres Pemuda dan Anwar akan hadir pada sepanjang kongres, dan masing-masing tidak menyerang satu sama lain dalam ucapan mereka.– 7 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen