Animasi kita bertaraf dunia


Daniyal Kadir

TAHUN 2019 menjadi tahun gemilang buat filem animasi tempatan, apabila kita berpeluang menonton Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Boboiboy Movie 2 dan Ejen Ali: The Movie.

Lebih membanggakan selain daripada animasi yang dihasilkan berkualiti tinggi, kutipan untuk ketiga-tiga filem ini amat memberangsangkan.

Upin & Ipin berjaya mengutip RM26.2 juta, Boboiboy dengan RM29.6 juta dan Ejen Ali setelah seminggu tayangan di 162 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei telah mengumpul RM13 juta.

Ini khabar gembira buat kita semua dan penggiat filem animasi tempatan. Keuntungan akan hadir jika kita menghasilkan karya bermutu tinggi.

Ketiga-tiga filem animasi ini mempunyai kekuatan tersendiri, khasnya dari aspek penceritaan dan bentuknya.

Upin & Ipin bernas dalam mengangkat legenda terkenal ke dalam bentuk yang mengagumkan. Filem ini amat kukuh dalam memperkenalkan nilai dan budaya tempatan.

Memberikan nafas baru kepada Raja Bersiong, Bawang Putih Bawang Merah, Si Tanggang, dan Nujum Pak Belalang bukan satu kerja yang mudah. Lebih menarik setiap legenda ini hidup dalam kedudukan berbeza.

Ia memberikan alternatif kepada sisi sebenar setiap legenda ini.

Nilai kemaafan yang menjadi tunjang filem ini menjadi kekuatan kepada setiap alternatif bagi setiap legenda berkenaan. Kita lihat bagaimana Bawang Putih dan Bawang Merah saling memaafkan dan menyokong di antara satu sama lain.

Mak Deruma dalam pertentangan dengan Si Tanggang yang sudah bertukar menjadi batu juga sangat memikat melalui jalinan emosi yang segar. Kekuatan seorang ibu berhadapan dengan keputusannya sendiri dan melihatkan bagaimana Mak Deruma mengajar tentang berlapang dada.

Upin & Ipin menjadi filem yang penting buat kita tahun ini, kerana ia cukup kukuh dalam menampilkan Malaysia dan memberi pengertian kepada penonton (dalam dan luar negara) tentang keunikan Malaysia dari sudut budaya.

Agak mengagumkan kerana Upin & Ipin juga meneroka ruang psikologi dan imaginatif kanak-kanak. Kita ditampilkan dengan bagaimana kanak-kanak sering membuka minda mereka dengan terbuka dan menyerap segala imaginasi yang membentuk pemikiran dan keperibadian mereka.

Upin & Ipin menampilkan hal psikologi kanak-kanak ini daripada babak stor Tok Dalang yang terbuka dan terpecah hingga membawakan mereka ke alam lain.

Kanak-kanak bisa menukarkan apa sahaja ke bentuk yang mereka inginkan. Mereka bisa mengubah stor Tok Dalang menjadi sebuah alam lain untuk mereka melalui pengembaraan yang terbina di dalam imaginasi.

Boboiboy pula wajar dipuji dari sudut kualiti animasi dan penceritaan yang menambat hati. Walaupun ia jelas menumpukan kepada kanak-kanak, namun ia sebuah filem kanak-kanak yang baik. Ia penuh dengan warna dan menceriakan pemahaman dunia mereka.

Aksi di dalam filem ini juga dibentuk dengan baik dan memberikan kita kelegaan dalam menonton sebuah animasi tempatan seperti ini.

Walaupun Boboiboy cuba mencipta universe berbeza, namun kita masih lagi terasa seperti menonton siri kartunnya dalam versi lebih panjang. Universe yang dicipta itu tidak cukup luas dan penting untuk kita merasakan kelainan daripada sirinya.

Ini berbeza dengan Upin & Ipin yang berjaya membentuk sebuah universe berbeza daripada sirinya dan membuatkan kita merasai kelainan yang diciptakan itu.

Ejen Ali amat berbeza kerana ia keluar daripada penjara yang sering memerangkap animasi tempatan sebagai filem untuk kanak-kanak sahaja. Ejen Ali melangkaui sempadan berkenaan dan memberikan kita sebuah animasi universal yang mengatasi batas usia.

Lebih menarik, Ejen Ali memilih tema pertentangan kelas yang jarang dibincangkan dalam filem Malaysia secara berterus-terang dan radikal.

Melalui Ejen Ali kita dipaparkan dengan kebangkitan golongan precariat akibat penindasan sistematik yang berlaku. Ia juga dilihat sebagai sebuah isu terkini apabila kita mengaitkan masyarakat pinggiran dengan kebangkitan golongan bawahan di Hong Kong.

Seperti filem terbaik tahun ini, Parasite yang melihatkan pengasingan golongan atasan dan bawahan melalui struktur rumah, Ejen Ali menonjolkan pengasingan berkenaan melalui terowong rahsia.

Satu lagi perkara menarik dapat diperhatikan ialah garis kelabu dalam melihat siapa yang baik dan siapa pula yang jahat. Pembikinannya tidak memberikan kita jawapan tuntas, sebaliknya semua terpulang kepada kita untuk menentukan.

Ejen Ali, seperti juga Upin & Ipin berjaya membina universe baru tanpa membuatkan kita mengetahui tentang Ejen Ali dalam episod bersirinya.

Membangunkan sebuah dunia yang teguh seperti ini membuatkan filem ini sebagai antara yang terbaik untuk tahun ini.

Tidak keterlaluan untuk kita katakan, pada 2019, saingan bagi filem terbaik Malaysia datangnya daripada filem animasi ini.

Semoga pada 2020 ini, kita akan melihat lebih banyak animasi berkualiti dapat dihasilkan dan pada Festival Filem Malaysia kelak, akan diwujudkan kategori Filem Animasi Terbaik untuk kita terus menjulang industri animasi negara. – 7 Disember, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen