Gencatan batal, kem Azmin mungkir janji


Chan Kok Leong

Bekas pengerusi tetap Pemuda Muhammad Mizan Adli Mohd Noor dihalang daripada memasuki dewan persidangan. – Gambar fail Gambar The Malaysian Insight, 7 Disember, 2019.

KEM Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sudah melanggar janji gencatan sementara yang dicapai dengan Anwar Ibrahim pada Rabu selepas tercetus kekacauan di luar kongres sayap Pemuda semalam, kata naib presiden parti Chang Lih Kang.

“Apa yang berlaku (semalam) ialah akibat beberapa pihak yang tidak berpegang pada janji,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam mesyuarat di bangunan Parlimen pada petang Rabu, kedua-dua pihak sudah setuju dengan keputusan Pemuda PKR memecat pengerusi tetap Muhammad Mizan Adli Mohd Noor dan timbalannya Mohd Ramly Ahmad, tambahnya.

Mereka dipecat kerana sudah melepasi umur memegang jawatan iaitu 35 tahun.

Chang yang juga ahli Parlimen Tanjung Malim mengaku beliau terkejut apabila lebih 100 belia bukan ahli parti datang untuk membuat kacau di tempat persidangan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, untuk membuat kacau.

“Isu Mizan dibangkitkan dalam mesyuarat. Selepas Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir jelaskan keadaannya, kedua-dua pihak bertolak ansur.

“Persetujuannya ialah tiga pimpinan pusat PKR akan menjalankan pemilihan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap yang baharu,” katanya.

Tiga pimpinan pusat itu ialah Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang juga timbalan menteri, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Merbuk Nor Azrina Surip.

“Selepas itu, pengerusi tetap yang baharu akan mengambil alih kongres Pemuda.

“Itu konsensus yang mereka capai pada Rabu, tetapi ini tidak berlaku,” kata Chang, merujuk pada kekacauan semalam.

“Yang lebih teruk lagi salah seorang yang hadir pada pertemuan itu, Azmizam Zaman Huri, juga antara yang cuba masuk ke kongres semalam.”

Katanya, Akmal sudah mengotakan janjinya iaitu dengan meredakan Pemuda PKR selepas pimpinan parti setuju supaya Azmin merasmikan kongres sayap itu.

Pemuda PKR sebelum ini memutuskan menjemput Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk merasmikan kongresnya.

“Akmal terpaksa meyakinkan perwakilan Pemuda dan beliau melakukannya dengan baik. Akmal juga nampak cuba mencari penyelesaian dalam ucapannya kepada Pemuda.

“Kejadian semalam menghancurkan persetujuan yang dicapai pada Rabu,” kata Chang.

Lebih 100 belia memakai baju T hitam yang tidak dikenali dan bukan perwakilan hadir ke kongres Pemuda semalam.

Walaupun tiada tangkapan, pertembungan antara kumpulan ini dengan perwakilan menyebabkan beberapa dalam kalangan mereka cedera. – 7 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen