Terima hakikat Mizan bukan lagi Pemuda, tegas PKR


Mohd Farhan Darwis

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata bekas pengerusi tetap dan timbalannya tidak perlu hadir selepas dipecat minggu lalu kerana sudah berusia lebih 35 tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh seth Akmal, 6 Disember, 2019.

BEKAS pengerusi tetap Pemuda PKR Muhammad Mizan Adli Mohd Noor tidak harus mencetus kekecohan dan menerima hakikat beliau bukan lagi anggota pergerakan tersebut, tegas parti itu.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Mizan dan bekas timbalan pengerusi tetap Mohd Ramly Ahmad tidak perlu hadir selepas dipecat minggu lalu kerana berusia lebih 35 tahun.

“Mizan bukan Pemuda, terimalah… Beliau tidak perlu hadir (ke persidangan) untuk tukar pengerusi tetap.

“Ini isu pentadbiran, seketariat sedang cuba menyelesaikannya. Sekiranya ada aduan perlu menggunakan saluran yang betul,” kata Fahmi.

Beliau mengulas tindakan Mizan yang mencetus kekecohan kerana cuba memasuki dewan dan mempengerusikan persidangan sewaktu kongres pagi ini.

Tindakan Mizan itu dihalang sekumpulan petugas PKR yang turut memaksanya keluar dalam kejadian di Melaka International Trade Centre.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata tindakan untuk masuk dewan persidangan walaupun bukan perwakilan adalah pelanggaran peraturan yang serius dan boleh memburukkan imej parti.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, mana-mana pihak yang terlibat mencetuskan ketegangan dan kekecohan awal hari ini akan dikenakan tindakan.

“Amaran sudah diberikan, mereka yang enggan mendengar arahan akan diberikan surat tunjuk sebab atau berhadapan kemungkinan dipecat.

“Saya sedih, kami di kalangan pemimpin pusat sedang memerhatikan, setiap seorang yang berusaha untuk kacau ganggu perjalanan kongres Pemuda akan dikenakan tindakan disiplin,” kata Fahmi lagi.

Mizan mendakwa kongres Pemuda berlangsung dalam keadaan tidak sah kerana pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap yang baru dijalankan tanpa kehadiran penyandang lama.

Beliau juga mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali sudahpun berbincang untuk membenarkan beliau memasuki persidangan.

Bagaimanapun perkara itu tidak diendahkan Ketua Pemuda Akmal Nasir, dakwanya lagi.

“Akmal juga tak ikut nasihat presiden dan timbalan dalam pertemuan mereka tempoh hari, sepatutnya saya dibenarkan masuk ke dalam dan selepas itu nak tukar tukarlah.

“Tapi saya ditarik, dihentak, dipukul dan dihalau keluar. Akmal gunakan budaya gengsterisme,” dakwa Mizan.

Sehubungan itu, Mizan berkata beliau akan membuat laporan polis atas insiden yang berlaku hari ini.

Kekecohan tercetus sekitar pukul 8.40 pagi sewaktu Mizan cuba memasuki dewan persidangan.

Dalam kejadian itu, perwakilan dilihat tolak menolak dan saling sorak menyorak di hadapan pintu masuk dewan persidangan.

Selain itu, terdapat juga kejadian perwakilan dikejar dan berbalas tumbukan di antara petugas keselamatan dan kumpulan perwakilan yang tidak dibenarkan memasuki dewan persidangan.

Perwakilan Pemuda hari ini memilih setiausaha sayap negeri Melaka Rashid Abu Bakar sebagai pengerusi tetap baharu dan Setiausaha Pemuda Kedah Wan Mohamed Syahezral Shahidan pula dipilih sebagai timbalannya. – 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen