Bajet 2018 tiada pembaharuan hasil pendapatan, kata penganalisis


Sharon Tan

Kerajaan masih bergantung kepada kutipan cukai barangan dan perkhidmatan yang menyumbang sebanyak 18% daripada jumlah pendapatan negara. – Gambar fail EPA, 28 Oktober, 2017.

BAJET 2018 mungkin mengekalkan disiplin pengurangan defisit dan memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah tetapi tiada pembaharuan bagi hasil pendapatan utama, kata penganalisis.

Penganalisis Moody’s Investors Service, Anushka Shah berkata langkah perbelanjaan Putrajaya mensasarkan kepada pertumbuhan inklusif dan perbelanjaan yang tinggi dan ini sama dengan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan lain.

“Bagaimanapun, bajet tidak mempunyai pembaharuan fiskal dan pendapatan utama,” kata Anushka.

Katanya, bajet itu bergantung pada kenaikan hasil yang diunjurkan, iaitu kutipan daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Implikasi kredit penuh belanjawan itu bergantung kepada sama ada peningkatan yang diunjurkan dalam pendapatan – terpantas sejak 2012 – dapat dicapai sejak sasaran utama diberikan kepada peningkatan kutipan GST,” katanya.

Perdana Menteri Najib Razak dalam ucapan belanjawannya semalam mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2017 berada dalam lingkungan 5.2% hingga 5.7%.

Beliau juga berkata kerajaan komited untuk mengurangkan defisitnya kepada 2.8% pada 2018 berbanding 3% tahun ini.

Kerajaan sejak 2009 mengalami trend pengurangan defisit.

Ia memperkenalkan GST pada 2015 dengan kadar 6% dan mengekalkannya bagi Bajet 2018 tetapi memperkenalkan pengecualian kepada pembelian “big ticket” seperti kapal terbang dan kapal laut kepada syarikat penerbangan dan perkapalan serta import peralatan berkaitan bidang minyak dan gas di bawah perjanjian pajakan.

Ketua ekonomi Bank Alliance, Manokaran Mottain berkata sebahagian besar hasil akan terus disokong oleh kutipan cukai (30% daripada jumlah pendapatan) dan kutipan GST (18% daripada jumlah pendapatan) manakala hasil minyak sekitar 16%.

“Pertumbuhan pendapatan dijangka naik memandangkan pemulihan harga minyak mentah Brent dan prestasi ekonomi Malaysia yang teguh akan membawa kepada pendapatan korporat yang lebih tinggi dan peningkatan perbelanjaan,” kata Manokaran.

“Bagaimanapun, adalah jelas yang kerajaan sangat mengawal perbelanjaan memandangkan sebahagian besar langkah itu merupakan kesinambungan daripada tahun-tahun sebelumnya, untuk mencapai sasaran defisit fiskal mereka sebanyak 2.8% pada 2018,” kata Manokaran.

Manokaran dalam laporannya juga menegaskan yang tahap liabiliti kontinjen kerajaan kekal stabil pada kadar lebih sedikit 15% bagi KDNK sejak 2013 (2016: 15.2%).

“Walaupun terdapat peningkatan dalam bil infrastruktur untuk membiayai projek-projek seperti sambungan MRT dan LRT, tahap liabiliti kontinjen kekal mantap, yang mungkin menunjukkan berlakunya penurunan liabiliti di bahagian lain.

“Bagaimanapun, kita akan terus melihat skop terhad bagi kerajaan untuk memaju perbelanjaannya pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Belanjawan praktikal

Nomura Research juga berkata Bajet 2018 menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda penyatuan fiskal walaupun dengan pilihan raya umum yang perlu diadakan pada Ogos depan.

“Bagi tahun ini, penyelenggaraan kerajaan terhadap sasaran defisit fiskal 2017 juga konsisten dengan pandangan kami mengenai pengetatan fiskal pada separuh kedua 2017, dengan sektor eksport yang kukuh meningkatkan pertumbuhan dan mengimbangi fiskal yang lemah.

“Kami mengharapkan corak yang sama pada 2018, dengan pengeluaran perbelanjaan kerajaan untuk memulakan tahun (menjelang pilihan raya) sebelum menjalankan dasar fiskal yang ketat pada 2018 bagi mencapai sasaran defisit fiskal sebanyak 2.8% KDNK,” kata Nomura.

Ia menambah turut menjangkakan Najib dan Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa selepas pilihan raya bagi meneruskan pengukuhan fiskal yang memberi sokongan kepada penarafan kredit berdaulat Malaysia.

Ketua Eksekutif CIMB Group, Tengku Zafrul Aziz berkata bajet itu mencerminkan dasar penyayang kerajaan yang praktikal kepada kumpulan B40 dan M40.

“Memberi fokus kepada isu keperluan asas seperti mengurangkan cukai pendapatan bagi golongan berpendapatan rendah, peningkatan bantuan makanan dan barangan pengangkutan asas serta menyediakan lebih banyak peruntukan bagi rumah mampu milik akan memastikan kepentingan jangka pendek dan panjang rakyat berterusan,” kata Tengku Zafrul.

Beliau juga berkata kerajaan mengambil pendekatan menangani isu pemilikan rumah dengan membina lebih 385,000 rumah mampu milik.

Beliau menambah meneruskan skim pembiayaan PR1MA kepada pemaju perumahan swasta juga merupakan langkah yang patut dipuji untuk memudahkan pemilikan rumah.

“Dasar-dasar bagi operasi GLC, khususnya dalam memastikan kesejahteraan kakitangan, mencerminkan visi kerajaan yang memberi fokus kepada rakyat. Beberapa daripadanya, seperti aturan waktu kerja fleksibel dan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja, sudah pun dilaksanakan oleh CIMB,” kata Tengku Zafrul.

Pengarah Urusan Kumpulan Bank RHB, Khairussaleh Ramli berkata Bajet 2018 disesuaikan bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

“Bajet 2018 sebahagian besarnya dibuat bagi menangani kenaikan kos sara hidup sambil mengekalkan komitmen terhadap disiplin fiskal. Ia mengambil langkah-langkah untuk menangani kumpulan pendapatan bawah 40% (B40), kumpulan pendapatan sederhana 40% (M40) dan penduduk luar bandar.

“Satu fokus yang jelas mengenai belanjawan ini ialah ‘membentuk masa depan’ untuk semua rakyat Malaysia, dengan penekanan terhadap pelaburan dalam infrastruktur, pendidikan, dan kemahiran dan pembangunan bakat; langkah-langkah yang akan meningkatkan pertumbuhan dan menjadikan ekonomi lebih inklusif,” kata Khairussaleh. – 28 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen