Bagaimana Bajet 2018 turunkan kos sara hidup, soal rakyat Malaysia berpendapatan sederhana  


Looi Sue-Chern Melati A. Jalil Diyana Ibrahim Jason Santos

Rakyat Malaysia berpendapatan sederhana tidak dapat melihat bagaimana Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Najib Razak membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin melonjak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2017.

RAKYAT Malaysia berpendapatan sederhana mempersoalkan bagaimana Bajet 2018, dengan insentif kepada masyarakat luar bandar, petani, nelayan dan penjawat awam, akan diterjemahkan kepada penurunan kos sara hidup.

Sementara cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikecualikan pada beberapa barangan seperti bahan bacaan dan perkhidmatan majlis tempatan, dan ketika tol dihapuskan di beberapa lebuhraya, mereka meragui bagaimana langkah ini membantu mengurangkan perbelanjaan harian. 

Ejen hartanah Wilson Moorthy dari Pulau Pinang tidak teruja dengan cadangan bajet RM280.2 bilion yang dibentangkan Perdana Menteri Najib Razak hari ini. 

“Saya tidak melihat bagaimana ia membantu rakyat berdepan dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barang. 

“Baru-baru ini saya membayar RM18 sekilogram untuk sotong. Tiga hari lalu, harganya melonjak kepada RM35 sekilogram. Saya tanyakan kepada penjual mengapa harganya naik terlalu tinggi. Katanya kerana kenaikan harga petrol. 

“Sekarang bagaimana bajet melihat perkara ini,” katanya yang berusia 50 tahun kepada The Malaysian Insight. 

Moorthy turut menolak GST akan mengurangkan kadar import bagi “perkara besar” seperti pesawat dan kapal oleh syarikat penerbangan dan perkapalan, dan menyatakan ia memberi manfaat kepada syarikat besar tetapi tidak kepada “rakyat biasa”.

“Rakyat merungut tentang kenaikan harga barangan pengguna, namun hanya beberapa sektor seperti syarikat besar ini yang mendapat manfaat,” katanya.

Di samping manfaat kepada syarikat penerbangan dan perkapalan, Najib turut mengumumkan pengecualian GST kepada pengendali syarikat perkhidmatan pembinaan untuk bangunan sekolah dan rumah ibadat yang dibiaya menerusi derma; dan import barangan berkaitan minyak dan gas di bawah perjanjian pajakan.

Najib yang juga menteri kewangan berkata, perkhidmatan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan; dan khidmat pengurusan dan penyelenggaraan bangunan kediaman strata tidak tertakluk kepada GST.

Bagi cukai individu, mereka yang berpendapatan antara RM20,001-RM35,000; RM35,001-50,000 dan RM50,001-70,000 akan menerima potongan cukai pendapatan 2%.

Namun kata Moorthy walaupun dengan pengurangan 2% cukai pendapatan, rakyat masih lagi perlu membayar 6% GST dan harga barangan serta perkhidmatan yang tinggi.

Pesara kerajaan Sam Yee, 69 berkata, beliau akan lebih gembira sekiranya mendengar pengecualian GST terhadap produk pengguna dan perkhidmatan.

“Perkhidmatan majis tempatan kini dikecualikan, tetapi apa jenis perkhidmatan sebenarnya? Penilaian sewa? Penilaian?”

Namun Yee gembira dengan bantuan kewangan khas RM750 daripada kerajaan persekutuan. Jumlahnya kali ini adalah tiga kali ganda daripada apa yang pesara terima di bawah Bajet 2017.

“Tahun lalu, kita hanya terima RM250, Apa yang boleh saya katakan? Ini merupakan bajet pilihan raya. Daripada apa yang saya dengar di radio, ia berbunyi seperti bajet pilihan raya. Kebanyakan rakyat kini mendapat faedah dan dana..petani, nelayan, penoreh getah, peneroka Felda dan seperti biasa, penjawat awam.”

“Tiada apa yang baru” untuk Sabah

Di Sabah, ahli perniagaan Christian Ampalang berkata beliau mendapati tiada apa yang baharu pada Bajet 2018 bagi negerinya.

“Lebuhraya Pan Borneo, ianya bukan sesuatu yang baharu. Ia diulang sejak 2016. Ia janji yang sama diulang-ulang. Apa yang rakyat Sabah mahu adalah lebuh raya baharu dibina. Bukan dinaik taraf,” katanya yang berusia 58 tahun. 

Apatah lagi katanya, kualiti kejuruteraannya boleh dipertikaikan misalnya bahagian lebuh raya itu dari bulatan Penampang ke simpang Lok Kawi tidak rata.

Lampu jalan juga masih belum dipasang dan berbahaya kepada pengguna jalan raya pada waktu malam.

Sama dengan jambatan Labuan ke tanah besar Sabah kata Ampalang, dan menyatakan kerajaan negeri enggan memperuntukkan tanah untuk bahagian jambatan itu di tanah besar.

Malah tambahnya, sekiranya jambatan itu diluluskan, syarikat feri akan terjejas dan beberapa perniagaan juga akan menerima kesan.

Bagaimana dengan lebuhraya bertol lain?

Mengenai pemansuhan bayaran tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, penduduk Shah Alam, Ida Marjan, 49, berkata keputusan kerajaan memansuhkan kutipan tol di Shah Alam dan Klang sepatutnya sudah dibuat sejak lama dulu kerana Lebuhraya Persekutuan tidak pernah ada tol sejak ia dibuka.

“Berita baiknya ialah kita tidak lagi perlu bayar tol kalau masuk ke Shah Alam dan Klang mulai tahun depan tetapi bagaimana dengan tol lain?

“Senang-senang saja nak kena keluarkan RM10 sehari untuk tol ke Kuala Lumpur,” katanya.

Selain di Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, tol  Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur di Johor juga akan bebas tol mulai 2018.

Seorang lagi pengguna Lebuhraya Persekutuan Mohd Mustazza Abu Hapaz, 30 tahun yang bekerja sebagai jurutera bunyi tidak begitu teruja dengan bajet kali ini apabila katanya ia hanya memberi manfaat kepada mereka bekerja di sektor kerajaan.

“Biasa saja bajet kali ini. Untuk yang bekerja di sektor swasta seperti saya tak dapat apa-apa pun, nampaknya yang banyak beri kelebihan kepada sektor kerajaan.

“Cuma saya mungkin sokong apabila kerajaan memansuhkan kutipan tol di Sungai Rasau dan Batu Tiga. Bagi saya ia dapat mengurangkan beban pengguna dan manfaat mereka yang  tinggal di Shah Alam dan Klang tapi bekerja di Lembah Klang seperti saya,” katanya.

“Ia memang membawa perubahan besar jika kutipan tol itu dimansuhkan. Dan saya percaya jalan pun akan kurang sesak sebab selama ini sesak sebab pengguna berhenti untuk bayar tol.”

Ada yang baik, ada yang buruk 

Bagaimanapun beliau juga menyedari bahawa pengumuman tersebut dilakukan bagi memenangi hati rakyat untuk pilihan raya akan datang.

“Memang boleh jadi, tapi bila kerajaan nak mansuhkan tol, kita pengguna terima sajalah, tapi takkan mempengaruhi undi kita dekat mana-mana pihak pun.”

Namun bagi penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ahmad Naim, beliau mendapati bantuan baucar buku RM2250 banyak membantu pelajar yang sering kali tidak cukup duit untuk membeli buku yang diperlukan. 

Penuntut universiti lain juga mengalu-alukan lanjutan tempoh bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari enam kepada 12 bulan dan diskaun yang ditawarkan kepada peminjam yang mampu membayar penuh atau 50% pinjaman mereka dan menerusi potongan gaji. 

Ganaesh Rajakumar, 20, berkata diskaun ini akan membantu pelajar lepasan universiti yang mula bekerja dengan gaji yang rendah atau mereka yang menanggung keluarga. 

“Tempoh lanjutan ini terutamanya akan memberi masa kepada pelajar untuk berada di tahap yang lebih kukuh dalam mencari pekerjaan, memandangkan masalah kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan dalam kalangan lepasan universiti,” katanya. 

Tukang jahit Musfirah Abdul berkata dia menjangkakan kesukaran dengan cuti bersalin wajib 90 hari kepada pekerja sektor swasta yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018. 

“Syarikat besar memang tidak akan terjejas tetapi bagi seseorang yang macam saya, ia jadi lebih sukar kerana saya tidak miliki ramai pekerja,” katanya dan menambah dia perlu memikirkan untuk menambah kakitangan berdasarkan kontrak tetap atau bayaran gaji secara harian. – 27 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen