Presiden Jerman lawat masjid di Penzberg


Imam Benjamin Idriz bercakap kepada Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier dan isterinya Elke Buedenbender semasa lawatan ke masjid di Penzberg. – Gambar EPA, 3 Disember, 2019.

PRESIDEN Jerman Frank-Walter Steinmeier menyeru masyarakat di negara itu agar mengamalkan sikap lebih memahami dan menghormati antara agama selepas melawat sebuah masjid di selatan pekan Penzberg pada Isnin, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik laporan Agensi Berita Jerman DPA.

“Ini benar terutama ketika polarisasi dalam masyarakat kita kembali meningkat, yang menyebabkan kita turut berdepan begitu banyak kebencian,” Steinmeier dipetik sebagai berkata oleh DPA.

Bercakap kepada imam tempatan di masjid itu, Benjamin Idriz, Steinmeier berkata apa yang sedang berlaku di Penzberg dan masjid lain adalah persis apa yang beliau mahukan untuk negaranya iaitu “sifat ingin tahu dan saling menghormati antara satu sama lain” yang dapat dilihat dalam kehidupan seharian.

Pemimpin Jerman itu memuji komitmen komuniti Islam di pekan itu dan turut berterima kasih kepada penduduk Penzberg yang menerima mereka dengan tangan terbuka selain rasa hormat yang tidak terhingga.

Menurut Steinmeier, dalam hal ini, Penzberg boleh menjadi model untuk banyak komuniti terutama di kawasan bandar.

Jerman menyaksikan peningkatan Islamofobia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini yang dicetuskan oleh propaganda kebencian parti pelampau kanan.

Polis mencatatkan 813 jenayah kebencian terhadap orang Islam tahun lepas, termasuk penghinaan lisan, surat ugutan dan serangan fizikal.

Lebih 100 buah masjid dan institusi agama diserang oleh pelampau kanan pada 2018. – Bernama, 3 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen