Putrajaya kemuka pindaan Perlembagaan, hadkan tempoh jawatan PM


Putrajaya dijangka membentangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2019.

PUTRAJAYA hari ini dijangka membentangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Rang undang-undang (RUU) pindaan ke atas Perkara 43(2)(a) dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, bacaan kedua dan perbahasan atas rang undang-undang berkenaan akan dibuat esok, sehari sebelum persidangan Dewan Rakyat sesi ini dijadualkan berakhir dan disambung semula pada Mac tahun depan.

Pindaan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bertujuan memasukkan peruntukan tambahan bahawa calon perdana menteri hendaklah seseorang “yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen”.

Syarat itu tambahan kepada syarat sedia ada iaitu seorang ahli Dewan Rakyat “yang pada hemat (Yang di-Pertuan Agong) mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”.

Semasa membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan komited melaksanakan reformasi institusi, seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum yang lalu.

Mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri kepada dua penggal adalah antara langkah reformasi itu, katanya.

“Langkah segera untuk mereformasi sistem politik akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal. Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan. Maka reformasi tadbir urus menjadi keutamaan,” katanya dalam ucapan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober lalu.

Cadangan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan ini adalah yang ketiga sejak PH mengambil alih pentadbiran negara pada Mei 2018. 

Pindaan yang dikemukakan sebelum ini menyentuh soal kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah, kembali kepada status ketika pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. 

Pindaan itu bagaimanapun tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen seperti yang diperlukan.

Pindaan yang kedua pada Julai 2019, iaitu menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, bagaimanapun mendapat sokongan majoriti lebih dua pertiga. – 3 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen