Tak perlu siasat perhimpunan bekas komunis, kata Ronnie Liu 


Noel Achariam

Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu berkata perhimpunan itu diadakan bagi memperingati perjanjian damai dan bukan cubaan untuk hidupkan kembali fahaman komunis.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2019.

POLIS perlu faham bahawa perhimpunan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) semalam adalah bagi memperingati perjanjian damai dan bukan cubaan untuk menghidupkan kembali fahaman komunis, kata Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Beliau berkata, polis berhak untuk menyiasat perhimpunan itu, namun ianya tidak perlu kerana ia adalah perhimpunan untuk memperingati ulang tahun Perjanjian Damai Hat Yai yang ke-30 yang ditandatangani pada 2 Disember, 1989 antara PKM, Malaysia dan Thailand bagi menamatkan darurat.

“Bagi mereka yang tidak faham perjanjian damai, mereka mungkin salah faham ianya sebagai perkara lain.

“Saya harap mereka faham bahawa ia adalah untuk memperingati perjanjian damai dan tiada perkara lain,” kata Liu yang turut hadir pada perhimpunan itu, kepada The Malaysian Insight.

“Ia bukan cubaan untuk hidupkan fahaman komunis dan perkara lain, itu tidak benar.”

Wakil rakyat DAP itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Kementerian Dalam Negeri hari ini bahawa Cawangan Khas telah diarahkan untuk menyiasat perhimpunan yang diadakan di Kajang itu semalam.

Menurut laporan media, ia dihadiri oleh kira-kira 300 orang, kebanyakan mereka berusia 80-an.

Malaysia turut menandatangani perjanjian itu yang menyaksikan PKM meletakkan senjata dan kemudian dibubarkan.

Lui berkata, ia amat bermakna kepada bekas ahli PK sebagai memperingati nilai keamanan.

“Rakyat Malaysia perlu meneruskan hidup dan menikmati keamanan serta terus memeliharanya.

“Itu lebih penting berbanding perkara lain. Kita faham sejarah, dan kita tidak boleh lupakannya. Namun kita perlu terus bergerak ke hadapan.”

Sementara itu, Dr Syed Husin Ali dari PKR yang turut hadir pada perhimpunan itu berkata, Kementerian Dalam Negeri dan polis perlu melakukan apa yang dirasakan patut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Perhimpunan semalam adalah susulan daripada kontroversi abu mayat Chin Peng yang dibawa masuk ke negara ini dan ditabur di Perak, yang mencetuskan kemarahan ahli Umno dan PAS.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana Chin Peng sudah pun meninggal dunia.

Kerajaan turut nafi membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke negara ini.

Chin Peng meninggal dunia pada usia 89 tahun, pada 2013 ketika hidup dalam buangan di Thailand.– 2 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen