Petisyen solidariti untuk ITBM


Zainal Rashid Ahmad

MENGGERAKKAN petisyen atas talian satu pengalaman baharu. Apatah lagi idea ini lahir setelah tiga kali bertemu dengan penulis muda, Karim Mohd.

Walaupun jurang usia kami 30 tahun, saya dan Karim memiliki fikiran yang sama mengenai isu Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).

Sejak enam bulan lalu, ini topik utama perbualan kami. Berbincang panjang lebar ketika melepak di Studio Anai-anai sampailah ke warung tomyam Jalan Tallalla. 

Akhirnya, kami terfikir. Cakap-cakap saja tidak akan berkesudahan.

Kami bersetuju, ITBM perlu wujud dan kekal. Malah, kekal dengan fungsi penerbitan buku sastera sebagai teras operasinya.

Ini penting kerana ITBM telah menyumbang perubahan besar dalam reformasi kandungan buku sastera sejak sedekad lalu. 

Walaupun wujud tuduhan prejudis mengenai isu kroni dan kualiti dalam pemilihan penerbitan buku ITBM –  ia hanya sentimen.

Fakta adalah bukti. Semak rekod Hadiah Sastera Perdana (HPM) 2011 hingga 2018. Lihat penguasaan ITBM terutama dalam kategori buku.

Krisis jualan komersil dan kegagalan menjana untung, satu isu lain. Krisis bisnes memerlukan justifikasi lebih adil.

Industri buku nasional mengalami krisis kemeruduman jualan sejak 2014. Krisis ini faktor utama yang “membunuh” ekosistem ekonomi buku domestik.

Ketenatan pasaran buku dialami semua penerbit. Syarikat besar dan penerbit indiependent (indie) turut terjejas teruk. Justeru, merujuk ITBM sebagai sebagai syarikat perbukuan yang gagal sangat tidak tepat.

Pembenci ITBM perlu melihat fakta. Serangan bersentimen tentunya tidak adil untuk menjustifikasikan realiti sebenar.

ITBM punya potensi untuk kekal sebagai instrumen bisnes sekiranya penstrukturan lebih kompeten dilaksanakan.

Malah, ITBM mampu menjadi model cetak biru baharu industri perbukuan nasional. Apa yang perlu hanyalah satu peluang. Peluang pembaharuan.

Matlamat petisyen mencari sokongan awam

Kami menyusun matlamat petisyen dengan fokus mendapatkan sokongan awam.

Tugas Karim sebagai anak muda ialah melancarkan platform petisyen. Satu simbol penulis generasinya punya jiwa prihatin.

Saya memilih bertindak sebagai operator yang menghubungi pelbagai pihak dan kempen per individu bagi mendapatkan sokongan tandatangan.

Pertama, kami sepakat: petisyen mesti tidak bersifat menyalahkan sesiapa. Tidak relevan mencari “kambing hitam” untuk dikorbankan.

Kedua, petisyen mesti berfikir dengan konsep: “bergerak ke depan demi kebaikan industri buku, sastera, bahasa dan kebajikan penjawat ITBM”.

Ini lima elemen utama petisyen:

1. Mendapatkan jaminan kebajikan penjawat ITBM.
2. Meminta kerajaan mengekal teras ITBM sebagai penerbit buku sastera.
3. Memberi peluang ITBM menyusun peluang perniagaan. perniagaan.
4. Menyeru kerajaan membantu ITBM dengan sokongan hingga mampu mandiri.
5. Mendesak GLC membeli stok buku ITBM.

Petisyen sebagai rayuan kepada kerajaan

Petisyen ini mengharapkan 5,000 tandatangan. Selepas seminggu dilancarkan, angkanya melepasi 3,500 sokongan.

Matlamat lebih besar ialah mengharapkan petisyen ini mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk tindakan sokongan.

Begitu juga, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagi memastikan kementerian membantu ITBM terutama sokongan bagi proses stabiliti bisnes syarikat itu.

Secara struktur, ITBM di bawah Kementerian Kewangan tetapi ditadbir Kementerian Pendidikan. Iltizam dua menteri kanan ini penting sebagai kunci penyelesaian.

Tanpa prejudis, kami yakin dua menteri kanan ini mempunyai keprihatinan terhadap soal perbukuan, bahasa dan sastera.

Petisyen ini bukan mesej politik. Politik tidak akan menyelesaikan masalah ITBM. Petisyen ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam.

Soal perbukuan, bahasa dan sastera kini harus dibawa kepada masyarakat untuk mendapatkan sokongan dan penglibatan menyeluruh sebagai satu isu negara. 

Apa diharap orang sastera

Isu ITBM tidak wajar disempitkan sebagai isu orang sastera atau komuniti buku sahaja. Apa lagi, ketika persatuan dan individu berpengaruh dalam sastera pun tidak mempedulikannya.

Ini kenyataan getir tetapi benar. Entiti sastera dan bahasa ialah saksi pertama paling dekat dengan isu ini. Namun, memilih mendiamkan diri.

Hari ini menyatakan pendirian berani dianggap satu risiko. Rakan-rakan sastera enggan memberi sokongan terbuka. Bimbang, pendirian kontroversi ini akan menggugat manfaat peribadi.

Kami berterima kasih pada rakan-rakan pelukis, komuniti masjid, kelab penjaja kecil, komuniti nasyid dan geng kelab motosikal. Majoriti sokongan petisyen diraih hasil bantuan mereka.

Setelah menjelaskan kedudukan lima matlamat petisyen, secara am rakan-rakan di luar lingkaran perbukuan, sastera dan bahasa memahami matlamat petisyen ini.

Apa pun, kami yakin – respons utama masyarakat tentunya cenderung pada keinginan bersolidariti dengan penjawat ITBM.

Kita tidak lagi berharap pada orang sastera untuk bangkit dan berani bersuara. Harapan sokongan tertumpu pada “eye ball” masyarakat.

Kami yakin, Dr. Maszlee dan Guan Eng akan menghargai 3,500 atau 5,000 sokongan yang diraih.

Paling tidak, kerajaan berfikir: “Petisyen ini perlu diberi perhatian kerana menerima sokongan masyarakat.”

Kepada masyarakat awam, bantulah petisyen ini. Sokong dan komen dengan cadangan bermanfaat.

Kepada rakan-rakan sastera, saya mencela sikap anda semua. Sikap buruk dan ketakutan anda sangat memalukan. Tidak perlu jadi pengecut kerana mengejar terlalu banyak kepentingan peribadi.

Perbukuan, bahasa dan sastera – isu kita semua sebagai satu keluarga.

Apabila anda berpaling, keluarga ini hilang kekuatan persaudaraannya. – 1 Disember, 2019.


* Petisyen solidariti ITBM boleh diakses di sini

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen